PERDANA Menteri disambut pelajar Malaysia pada majlis makan malam.
PERDANA Menteri disambut pelajar Malaysia pada majlis makan malam.

Hubungan di antara Malaysia dan Indonesia sewajarnya tidak dibataskan pada peringkat kepemimpinan negara atau tahap tertentu, sebaliknya perlu lebih meluas serta membabitkan pelbagai peringkat supaya ia menjadi lebih baik.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau mahu hubungan di antara dua negara itu yang sudah terjalin sejak sekian lama mencakupi bidang lain, contohnya antara Dewan Perwakilan Rakyat di Indonesia dengan Dewan Rakyat di Malaysia.

“Hubungan juga boleh dilakukan di antara ketua provinsi (wilayah) seperti Gabenor. Ini kerana di Indonesia ketua provinsi memainkan peranan cukup besar.

“Justeru, perlu ada hubungan lebih mesra di peringkat seperti ini kerana saya percaya cara ini akan mewujudkan hubungan yang lebih selesa di antara kedua-dua negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis makan malam bersama lebih 200 pelajar Malaysia di Indonesia di sebuah hotel di sini, malam tadi.

Turut hadir, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Ahmad Shabery Cheek dan Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim.

Najib berada di sini untuk melakukan lawatan kerja selama dua hari serta menghadiri sambutan memperingati ulang tahun ke-60 Persidangan Asia Afrika (AAC) hari ini.

Beliau berkata, hubungan akrab Malaysia dan Indonesia juga tidak seharusnya dirosakkan dengan isu remeh temeh seperti dakwaan Malaysia mencuri tarian atau budaya Indonesia.

“Bidang kebudayaan tak ada monopoli atau hak milik harta intelek, sebaliknya ia perkongsian bersama. Kelompok etnik dari satu tempat yang melakukan penghijrahan sudah tentu akan bawa budaya asal mereka ke tempat baru.

“Jadi tak timbul kita (Malaysia) dianggap mencuri budaya Indonesia sehingga menjadi polemik dan perbalahan hingga mencetuskan demonstrasi dan sebagainya,” katanya.

Perdana Menteri turut menasihatkan penuntut Malaysia di Indonesia agar lebih bijak dalam menerima perkhabaran di media baru dengan tidak mempercayainya seratus peratus.

“Dulu orang baca akhbar, tapi kini ramai pelajar tidak baca akhbar, tetapi hanya membaca portal dan media sosial di Internet. Nasihat saya, jangan percaya semua yang disampaikan di media sosial.

“Ada beritanya benar, ada yang palsu, fitnah dan separuh benar. Jadi, saya harap pelajar dapat membuat penilaian yang tepat dalam menerima sesuatu berita,” katanya.

Di majlis itu, Najib turut memuji usaha menubuhkan Tabung Kebajikan Pelajar Malaysia di Indonesia (TKPMI) yang dikendalikan sepenuhnya oleh pelajar dan memberi komitmen untuk membuat sumbangan kepada tabung itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 April 2015 @ 9:35 AM