Nay Pyi Taw: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan terus mempromosi cadangan Malaysia bagi pewujudan ‘Asean Berpaksikan Rakyat’ pada Sidang Kemuncak Asean ke-25 yang berlangsung hari ini dan esok, di sini.

Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Othman Hashim berkata Najib juga dijangka menyarankan penggandaan usaha bagi memastikan Komuniti Asean dapat direalisasikan pada akhir 2015.

Bercakap kepada pemberita di sini, Othman berkata sidang kemuncak itu akan memberi peluang kepada pemimpin Asean mengkaji usaha ke arah merealisasikan Komuniti Asean pada 2015.

Beliau berkata pemimpin Asean dan rakan dialognya dijangka membincangkan mengenai dialog perhubungan pada masa depan.

Ia akan merangkumi kerjasama dalam bidang keselamatan, ekonomi dan budaya serta bertukar-tukar pandangan mengenai isu yang menjadi kepentingan bersama, antara lain, tentang radikalisme dan keganasan serta peranan kesederhanaan.

Sidang kemuncak itu juga akan menyentuh mengenai alam sekitar serta isu serantau seperti keadaan di Laut China Selatan dan di Semenanjung Korea.

Semasa Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) kesembilan, pemimpin dijangka menerima pakai kenyataan bersama mengenai peraturan EAS untuk respons bencana yang kerap berlaku, respons serantau susulan penyebaran Ebola dan penyeludupan haiwan liar.

Cadangan Malaysia membanteras peningkatan keganasan dan kekejaman yang dilakukan oleh pengganas dan kumpulan militan IS di Iraq dan Syria juga dijangka diterima pemimpin Asean.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 November 2014 @ 5:13 AM