Mohd Shukri  mengoyak borang pencalonannya kerana tak puas hati  didakwa tidak layak bertanding.
Mohd Shukri mengoyak borang pencalonannya kerana tak puas hati didakwa tidak layak bertanding.

Blogger, Mohd Shukri Mohd Ramli, 44, atau lebih dikenali dengan nama Cucu Mat Kilau (CMK), bertindak mengoyak borang pencalonannya kerana tidak berpuas hati apabila didakwa tidak layak bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin, 5 Mei ini.

Dia ditemui di luar pusat penamaan calon di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, mendakwa bertindak demikian kerana kakitangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menasihatkannya untuk tidak mengemukakan borang atas alasan tidak layak bertanding pada PRK itu.

“SPR kata saya ada buat kesalahan. Berilah saya hantar borang...ini kata saya buat kesalahan kerana awal-awal berkempen menerusi blog saya. Saya tidak ada dana untuk berkempen, hanya menerusi blog,” katanya semalam.

Dia sebelum ini pernah bertanding di dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu DUN Kemayan mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) dan sebagai calon bebas di DUN Semambu pada PRU-13 lalu.

Bekas ahli PKR itu bagaimanapun tewas di kedua-dua PRU berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, calon terbabit tidak layak untuk mengemukakan borang pencalonan sebagai calon bebas berikutan tidak menyerahkan penyata perbelanjaan ketika bertanding pada PRU-13.

“Bagi calon Parlimen, mereka perlu mengemukakan penyata untuk membuktikan perbelanjaan ketika kempen tidak melebihi RM200,000 dan calon DUN (tidak melebihi RM100,000)...jika mereka gagal, mereka tidak dibenarkan bertanding pada mana-mana pilihan raya dalam tempoh lima tahun,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata, pihaknya yakin peratusan pengundi keluar mengundi pada PRK kali ini 80 peratus meskipun hari pengundian pada 5 Mei adalah hari bekerja.

Menurutnya, ia berdasarkan jumlah 86 peratus pengundi keluar mengundi di kerusi Parlimen Rompin pada PRU-13.

Beliau berkata, pengundi berdaftar diminta menyemak maklumat seperti pusat mengundi, nombor siri dan saluran bagi memudahkan proses pengundian pada 5 Mei depan antaranya dengan menghubungi Ibu Pejabat SPR di talian 03 88927000 atau Pejabat SPR Pahang (09 5165025).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 April 2015 @ 10:01 AM