PENGERUSI Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Azhar Azizan Harun bersama Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil DUN N.27 Rantau, Mohd Nizam Tajul Arus melihat peta kawasan ketika sidang media Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN N.27 Rantau, Negeri Sembilan di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
PENGERUSI Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Azhar Azizan Harun bersama Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil DUN N.27 Rantau, Mohd Nizam Tajul Arus melihat peta kawasan ketika sidang media Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN N.27 Rantau, Negeri Sembilan di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Siti A’isyah Sukaimi


SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N27 Rantau, Negeri Sembilan pada 13 April depan.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 30 Mac, manakala tarikh mengundi awal pada 9 April.

“Seramai 20,926 pemilih layak mengundi bagi PRK itu mengikut Daftar Pemilih Induk Tahun 2018 yang dikemas kini sehingga 25 Februari lalu terdiri daripada 20,804 pengundi biasa, 118 pengundi awal dan empat pengundi tidak hadir luar negara.

“Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon sehingga 11.59 malam 12 April,” katanya pada sidang media PRK DUN N27 Rantau di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, suruhanjaya itu bersetuju melantik Pegawai Daerah Seremban Mohd Nizam Tajul Arus sebagai Pegawai Pengurus PRK DUN N27 Rantau, manakala kos PRK ini dianggarkan RM1.8 juta.

Katanya, SPR akan menggunakan Dewan Serbaguna, Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Bandar Sri Sendayan sebagai Pusat Penamaan Calon dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi.

Dalam pada itu, Azhar berkata, seramai 515 petugas dilantik mengendalikan proses PRK N27 Rantau dan sebanyak 16 pusat mengundi mengandungi semua 55 saluran akan digunakan untuk kemudahan mengundi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, SPR mensasarkan 70 peratus pengundi akan keluar mengundi bagi PRK berkenaan.

Ditanya mengenai peruntukan digunakan untuk enam PRK sebelum ini dan PRK Rantau, Azhar berkata, kira-kira RM15.3 juta anggaran kos bagi semua PRK berkenaan.

Pada 18 Januari lalu, Mahkamah Persekutuan di sini menolak rayuan Datuk Seri Mohamad Hasan bagi membatalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 November tahun lalu yang mengisytiharkan kemenangan beliau di kerusi DUN Rantau pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) adalah tidak sah dan terbatal.

Calon PKR bagi DUN Rantau pada PRU-14, Dr S Streram merangkap Naib Ketua PKR Cabang Rembau memfailkan petisyen pada 23 Mei tahun lalu untuk membatalkan keputusan SPR yang mengisytiharkan Mohamad memenangi kerusi DUN Rantau.

Mohamad yang ketika itu Menteri Besar Negeri Sembilan menang kerusi itu tanpa bertanding pada PRU-14 selepas Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi kawasan Parlimen Rembau, Amino Agos Suyub tidak membenarkan Dr Streram masuk ke pusat penamaan calon kerana tiada pas calon SPR.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2019 @ 1:44 PM