GAMBAR hiasan. FOTO DANIAL SAAD
GAMBAR hiasan. FOTO DANIAL SAAD
Zanariah Abd Mutalib

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) mengeluarkan sebanyak 365,686 kertas undi pos kepada mereka yang layak mengundi secara pos bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Bugaya, Sabah.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak memaklumkan pengeluaran kertas undi bagi kategori yang layak di bawah Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003 itu dibuat bermula 7 November lalu oleh Petugas Pilihan Raya di semua 222 kawasan Parlimen dan 117 Dun.

Menurutnya, kertas undi berkenaan terdiri daripada 299,097 kertas undi bagi kategori Borang 1A (Petugas Pilihan Raya, Ahli/Pegawai SPR, Anggota Polis, Anggota Tentera dan Petugas Media) dan 48,109 kertas undi bagi kategori Borang 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara).

Katamya, selain itu, sebanyak 15,739 kertas undi kategori Borang 1C (Agensi dan Organisasi) dan 2,741 kertas undi Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara.

"Proses pengeluaran kertas undi pos ini dijalankan dengan kehadiran ejen undi pos daripada semua calon yang bertanding," katanya dalam kenyataan, hari ini.

SPR turut mengingatkan semua pengundi pos supaya membuat penandaan pada kertas undi, mengisi dengan lengkap dan betul borang Pengisytiharan Identiti (Borang 2) serta segera mengembalikannya kepada Pegawai Pengurus berkenaan sebelum jam 5 petang pada hari mengundi.

"Pengundi juga diingatkan supaya sentiasa menjaga kerahsiaan undi masing-masing dengan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 November 2022 @ 3:43 PM