BERNAMA

Nibong Tebal: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Bakap membuka tirainya hari ini dengan penamaan calon berlangsung di Dewan Serbaguna Jawi, Taman Desa Jawi di sini.

Proses penamaan calon bermula pada 9 pagi dan calon diberikan tempoh sejam hingga 10 pagi untuk mengemukakan borang pencalonan.

Selepas itu, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Khairulnizam Hashim akan mengumumkan nama-nama calon yang layak bertanding, kira-kira 11 pagi.

Setakat semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan enam borang pencalonan sudah dijual.

SPR menetapkan hari mengundi awal bagi PRK Dun Sungai Bakap pada 2 Julai ini, manakala hari mengundi 6 Julai, dengan kempen akan berlangsung selama 14 hari bermula hari ini hingga 11.59 malam 5 Julai.

Pada Rabu lepas, Kerajaan Perpaduan yang terdiri daripada Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menamakan bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara, Dr Joohari Ariffin sebagai 'ayam tambatan' mereka untuk merampas kerusi Dun itu, manakala Perikatan Nasional (PN) mempertaruhkan bekas eksekutif logistik yang juga Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal Abidin Ismail.

PRK Dun Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Ini adalah PRK kelapan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 yang sebelum ini menyaksikan PRK Parlimen Kuala Terengganu (Terengganu); PRK Dun Simpang Jeram dan PRK Parlimen Pulai (Johor); PRK Dun Pelangai (Pahang); PRK Dun Jepak (Sarawak); PRK Parlimen Kemaman (Terengganu) dan PRK Dun Kuala Kubu Baharu (Selangor).

PETUGAS SPR, semalam, melakukan persiapan menjelang hari penamaan calon PRK Dun Sungai Bakap. FOTO Bernama
PETUGAS SPR, semalam, melakukan persiapan menjelang hari penamaan calon PRK Dun Sungai Bakap. FOTO Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2024 @ 7:45 AM