MPV Che Ta yang dilarikan oleh dua lelaki awal pagi tadi.
MPV Che Ta yang dilarikan oleh dua lelaki awal pagi tadi.
Norizuan Shamsuddin


Subang Jaya: Dua lelaki dikesan melarikan kenderaan pelbagai guna (MPV) model Toyota Vellfire milik pelakon terkenal, Rozita Che Wan yang di parkir di kediamannya di sebuah kondominium mewah USJ 11, di sini, jam 4 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, suspek berkenaan dikesan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di premis berkenaan.

"Berdasarkan rakaman CCTV yang diperolehi didapati dua individu lelaki berada pada tempat duduk hadapan di dalam kenderaan terbabit.

"Mereka bertindak merempuh palang keselamatan di kondominium bagi melarikan kenderaan milik pelakon terbabit kerana tidak mempunyai akses untuk keluar masuk di kawasan berkenaan.

"Kejadian disedari mangsa sewaktu mahu menggunakan kenderaan berkenaan untuk keluar bekerja, kira-kira jam 9 pagi sebelum tampil membuat laporan polis," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, di sini, hari ini.

Menurutnya, kejadian turut menyebabkan Rozita kehilangan barangan berharga termasuk beg tangan dan kasut berjenama.

Katanya, siasatan sedang dilakukan bagi mengesan kenderaan dan mengenalpasti suspek berkenaan.

"Kita harap orang awam yang mempunyai maklumat dapat menyalurkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Ogos 2016 @ 5:50 PM