MAZLAN (kanan) menunjukkan kereta mewah yang dirampas daripada kumpulan Ateng.
MAZLAN (kanan) menunjukkan kereta mewah yang dirampas daripada kumpulan Ateng.
Faris Fuad


Kuala Lumpur: Mencuri kenderaan mewah dalam keadaan enjin tidak dimatikan, membuat kunci klon kereta dan samun pemilik kereta menggunakan parang.

Itu modus operandi polis kumpulan penjenayah curi kenderaan mewah dikenali kumpulan Ateng berikutan penahanan sembilan lelaki dalam operasi sepanjang minggu lalu.

Suspek rakyat tempatan yang berusia 18 hingga 38 tahun ditahan dalam beberapa siri operasi Bahagian Risikan Jenayah (D4) Polis Kuala Lumpur di sekitar Lembah Klang.

Siasatan awal polis mendapati kumpulan itu aktif dalam jenayah itu di Lembah Klang, Kuala Lumpur, Pahang dan Negeri Sembilan sejak 2016.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata siasatan mendapati kumpulan terbabit menggunakan tiga modus operandi iaitu mencuri kereta mewah yang tidak dimatikan enjin, membuat kunci klon dan samun pemilik kereta menggunakan parang.

Katanya, seorang suspek yang juga ketua kumpulan itu mempunyai 24 rekod jenayah termasuk kes samun dan mencuri kereta.

Hasil pemeriksaan air kencing terhadap suspek itu bersama dua suspek lagi mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine.

“Polis membuat risikan terhadap kumpulan itu sejak mendapat satu laporan mengenai kehilangan kereta Toyota Vellfire di Taman Leng Seng, Cheras pada 13 Februari lalu.

“Hasil maklumat itu, polis menahan sembilan ahli kumpulan itu yang mana enam daripadanya aktif menyamun kereta dan menjadi orang tengah dalam kegiatan itu, dua pemilik kedai aksesori kereta dan seorang bekerja sebagai penarik kereta.

“Kami juga merampas 10 kenderaan mewah termasuk Toyota Vellfire dan Mercedes Benz selain satu motosikal sebagai bahan bukti siasatan.

“Turut dijumpai 11 keping cukai jalan palsu, 15 paket lut sinar disyaki dadah jenis syabu (21.33 gram), 24 biji pil Erimin 5 dan satu tiub straw panjang disyaki heroin (3.23 gram).

“Ketika ini, semua suspek disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan dan direman sehingga 20 Mac ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) semalam.

Katanya, berikutan penahanan anggota kumpulan itu, polis berjaya menyelesaikan 11 kes curi kenderaan mewah sejak awal tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Mac 2018 @ 9:47 AM