Kuala Lumpur: AirAsia Berhad terus menghulurkan bantuan bagi membantu mangsa banjir di pantai timur walaupun warga kerja itu masih lagi bersedih berikutan nahas pesawat AirAsia Indonesia penerbangan QZ8501, 28 Disember lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad Aireen Omar berkata, 16 sukarelawan daripada syarikat penerbangan itu tiba di Kota Bharu, Kelantan semalam bagi membantu kerja pembersihan dan pembinaan semula penempatan masyarakat di kawasan yang dilanda banjir di pantai timur.

“Kami berhenti di Machang, Kelantan untuk bertemu dengan sukarelawan MERCY Malaysia sebelum rombongan meneruskan perjalanan ke Kuala Krai dan bertemu penduduk di sana untuk agihan pakaian.

“Selain itu,
AirAsia Berhad juga menyokong usaha pelbagai sukarelawan dengan menerbangkan 182 kakitangan perubatan termasuk doktor, jururawat dan kaunselor secara percuma ke Kota Bharu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Aireen berkata, usaha mereka dibantu pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Mercy Malaysia, Muslim Care Malaysia, IKRAM dan Pertubuhan Graduan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN) dengan menyediakan ruang kargo percuma bagi menghantar bantuan kemanusiaan seperti makanan, bekalan perubatan, pakaian dan keperluan lain.

“Sebanyak 36 tan barangan bantuan berjaya dihantar dan diedarkan di Kota Bharu.

“Kelantan adalah salah satu negeri yang paling teruk dilanda banjir dan kami bersimpati kepada mereka yang terjejas akibat bencana ini termasuk kakitangan
AirAsia yang berpusat di stesen Kota Bharu,” katanya.

Menurutnya, selain barangan bantuan dan aktiviti pembersihan, AirAsia Foundation dengan kerjasama MERCY Malaysia turut melancarkan kempen kutipan derma dalam semua penerbangan AirAsia.

“Kempen kutipan derma ini mendapat sambutan yang menggalakkan dan kemurahan hati penumpang penerbangan kami amat menyentuh hati.

“Kami berharap untuk mengumpul sebanyak mungkin supaya penduduk di pantai timur dapat membina semula kehidupan mereka secepat mungkin,” katanya.

Kempen derma ‘Pantai Timur Tabung Bantuan Banjir AirAsia’ berlangsung dari 2 hingga 18 Januari melalui kutipan dalam penerbangan AirAsia atau menerusi laman web www.airasiafoundation.com/relieffund.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 January 2015 @ 5:16 AM