Kuala Lumpur: Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) dengan kerjasama Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) memulakan inisiatif kerjasama bagi membantu misi Operasi Pasca Banjir yang dikelolakan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Pengarah Urusan PNMB, Maamor Che Alias berkata, antara inisiatif yang akan dijalankan bersama JPAM adalah dengan menyertai misi Operasi Bantuan Pasca Banjir dan Ops Cuci sebagai simbolik kepada penugasan pemulihan pasca banjir.

“Ops Cuci akan dijalankan secara berterusan sebaik saja sesuatu kawasan banjir telah surut serta pengagihan bantuan berbentuk sumbangan secara berperingkat.

“Bagi PNMB, kerjasama ini adalah satu Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) melalui program PNMB Prihatin bagi membantu mangsa-mangsa di kawasan Pantai Timur yang terdiri daripada sukarelawan di kalangan kakitangan ibu pejabat dan juga cawangan PNMB di seluruh Malaysia,” katanya.

Menurutnya, PNMB juga meneruskan bantuan kepada mangsa banjir di Pantai Timur secara berperingkat dengan menyumbangkan keperluan sebanyak RM35,000 termasuk kepada 21 orang kakitangannya yang terjejas.

“Sejak gelombang pertama kakitangan yang terjejas teruk menerima keperluan makanan, bantuan wang dan penilaian kerosakan akan dilakukan.

“Pihak kami berharap bantuan yang diberikan dapat meringankan beban dihadapi dan sebagai pampasan atas kehilangan harta benda yang musnah akibat banjir,” katanya.

Selain sumbangan, PNMB akan menggerakkan program Misi Bantuan PNMB Prihatin Pasca Banjir yang terdiri daripada sukarelawan di kalangan kakitangan dari ibu pejabatnya di Kuala Lumpur dan cawangan PNMB yang lain bagi membantu kawasan Pantai Timur yang terjejas akibat banjir.

PNMB juga telah melancarkan kempen derma darah bagi membantu mengisi Tabung Bekalan Darah Pusat Darah Negara (PDN) bagi keperluan negeri yang terjejas akibat banjir.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 January 2015 @ 5:27 AM