SHARIMAN  (dua dari kanan) menerima sumbangan cek daripada Ketua Pegawai Eksekutif Al-Meswak Mu'Min Sdn Bhd Zaihal Hazri Abdul Halim (dua dari kiri) untuk diserahkan kepada mangsa banjir di pantai timur.

PENGARANG Kumpulan Berita Harian Datuk Mahfar Ali (dua dari kiri) menerima sumbangan Petra Energy Berhad kepada Tabung Bencana NSTP-Media Prima daripada Badariah  (dua dari kanan) sambil diperhatikan Pengarang Kumpulan Harian Metro Datuk Mustapha Omar (kanan) dan Pengurus Besar Kumpulan Komunikasi Korporat Media Prima Azlan Abdul Aziz di Balai Berita.

Kuala Lumpur: Keprihatinan rakyat Malaysia terhadap nasib mangsa banjir membolehkan Tabung Bencana Media Prima Berhad (MPB)-The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) mengumpul RM500,000 setakat ini.

Pengurus Besar Pejabat Pengerusi MPB Shariman Zainal Abidin berkata, sehingga kini Tabung Bencana MPB-NSTP berjaya membawa bekalan makanan kepada kira-kira 3,000 keluarga mangsa banjir di seluruh negara.

Beliau berkata, pihaknya menyerahkan 540 kotak mee segera bernilai kira-kira RM60,000 kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk disalurkan kepada mangsa banjir.

“Tabung Bencana sudah membuat perancangan awal bagi menghadapi musim banjir untuk tahun ini selepas berjaya menyalurkan sumbangan kepada mangsa banjir di Sabah, Kedah, Melaka dan negeri pantai timur.

“Sokongan dan sambutan diterima daripada orang ramai amat menggalakkan, baik daripada individu mahupun badan korporat,” katanya selepas menyampaikan bantuan mangsa banjir kepada Asisten Ketua Staf Operasi dan Latihan Pertahanan Tentera TUDM Laksamana Muda Datuk Anuwi Hassan di Pangkalan TUDM Subang, di sini, semalam.

Selain itu, tabung berkenaan turut menerima sumbangan RM32,000 daripada Petra Energy Berhad.

Pengarah Sumber Manusia dan Pentadbiran Petra Energy Berhad Badariah Abd Jalil yang menyampaikan sumbangan itu berkata, ia disalurkan untuk diserahkan kepada mangsa banjir di negeri terbabit menerusi pembabitan sukarelawan NSTP.

Katanya, daripada jumlah itu, RM30,000 adalah daripada syarikat manakala RM2,000 hasil kutipan daripada kakitangan serta tabung khairat.

“Kita yakin dengan inisiatif menerusi tabung bencana ini dan berharap ia dapat membantu mereka yang memerlukan,” katanya.

Sementara itu, Pasaraya Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin) dengan kerjasama Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) melancarkan Misi Tabung Kemanusiaan Bencana Banjir Mydin-POKB ‘Ringgit for Ringgit’ dengan sasaran mengumpul RM500,000.

Presiden POKB Datuk Sheikh Ahmad Dusuki berkata, Mydin komited untuk menggandakan setiap ringgit yang disumbangkan oleh orang ramai menerusi tabung yang ditempatkan di semua cawangan Mydin di seluruh negara.

“Ini bermakna jika sasaran kutipan dapat dicapai, Mydin akan menambah jumlah sama menjadikan jumlahnya sebanyak RM1 juta yang akan disumbangkan kepada mangsa banjir,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Disember 2014 @ 6:12 AM