Miri: Seorang lelaki menyembur minyak wangi ke muka pemandu van sebuah syarikat keselamatan sebelum melarikan wang tunai RM84,000 dalam kejadian rompakan berhampiran sebuah bank di Pusat Komersial Boulevard, di sini, kelmarin.

Difahamkan, dalam kejadian jam 3.30 petang itu, mangsa berusia 30 tahun terbabit bersendirian menaiki van yang membawa wang tunai milik syarikat perbankan dan telekomunikasi untuk dihantar ke sebuah bank di lokasi kejadian.

Sumber polis berkata, sebaik keluar dari van sambil membawa dua bungkusan berisi wang tunai berkenaan, secara tiba-tiba mangsa disapa dari arah belakang oleh suspek yang bertindak menyembur minyak wangi ke mukanya dan melarikan satu bungkusan berisi wang terbabit.

Katanya, semburan itu membuatkan mangsa berasa pedih di mata, manakala suspek yang melarikan diri dengan menaiki sebuah pacuan empat roda (4WD) jenis Toyota Hilux.

“Mangsa cuba mendapatkan bantuan sepasukan anggota Jabatan Sukarelawan Rakyat Malaysia (RELA) yang kebetulan melalui di lokasi kejadian, namun gagal.

“Berikutan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner ketika mengesahkan kejadian itu berkata, pihaknya sudah mengambil keterangan pemandu van terbabit bersama seorang penyelia syarikat keselamatan itu berhubung kejadian itu bagi membantu siasatan.

“Semua masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 392/397, Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Oktober 2014 @ 5:19 AM