Hasbi Sidek


EMPAT lelaki bertindak nekad merampas senjata api pekerja kawalan keselamatan yang sedang menjalankan tugas memasukkan wang ke dalam van keselamatan dalam cubaan melakukan rompakan di hadapan bank di Jalan Tanjung Sd 13/1, Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya, hari ini.

Dalam kejadian 11 pagi itu, empat lelaki dipercayai warga asing itu gagal melakukan rompakan, namun sempat melarikan ‘pump gun’ milik pengawal keselamatan terbabit.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmod berkata, berlaku pergelutan antara suspek dengan seorang daripada empat pekerja kawalan keselamatan terbabit sebelum suspek yang menaiki kereta melarikan diri.

“Ketika kejadian, mangsa seorang lelaki berada di depan bank di lokasi kejadian bersama tiga rakan sekerja syarikat kawalan keselamatan yang sedang menjalankan kerja mengutip wang dari bank berkenaan.

“Mangsa mendapati empat lelaki menaiki kereta Proton Waja berhampiran lokasi. Dua daripadanya yang memakai topi keledar menghampiri mangsa dalam keadaan mencurigakan sebelum salah seorang daripadanya merentap dan merampas senjata api dipegang mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, senjata jenis ‘pump gun’ itu berisi tiga peluru dan berlaku pergelutan antara mangsa dan suspek.

Katanya, suspek turut mengacukan objek menyerupai pistol ke arah mangsa selain mengancam keselamatannya sebelum melarikan diri bersama pump gun itu.

“Mangsa tidak cedera dan tiada kerugian wang tunai dalam kejadian ini,” katanya.

Satu rakaman video berdurasi 20 saat dipercayai dirakam dari kamera dipasang dalam van berkenaan tular di laman sosial menunjukkan mangsa sedang memerhatikan rakan setugasnya memasukkan wang ke dalam van.

Dipercayai tiga rakan sekerja mangsa berada dalam van dan baru sahaja memasukkan wang ke dalam kenderaan itu sebelum seorang lelaki dilihat merentap senjata api dipegang mangsa.

Salah seorang daripada rakan setugas yang berada dalam van pantas menutup pintu van, sekali gus menggagalkan cubaan rompakan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 September 2018 @ 11:46 PM
RAKAMAN video tular di media sosial menunjukkan suspek menghampiri mangsa sebelum merampas pump gun ketika rakan mangsa menjalankan tugas memasukkan guni wang ke dalam van keselamatan.
RAKAMAN video tular di media sosial menunjukkan suspek menghampiri mangsa sebelum merampas pump gun ketika rakan mangsa menjalankan tugas memasukkan guni wang ke dalam van keselamatan.