HOBI sejak kecil tertunai selepas mampu miliki pelbagai jenis haiwan eksotik untuk dipelihara.
HOBI sejak kecil tertunai selepas mampu miliki pelbagai jenis haiwan eksotik untuk dipelihara.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

 

Hobi terpendam sejak kecil ingin memiliki haiwan eksotik dapat direalisasikan lelaki ini pada 2019 dengan memelihara 'leopard gecko,' 'california king snake' dan 'blue tongued skink' (mengkarong darat).

Dua haiwan berkenaan dibeli di kedai haiwan eksotik, manakala gecko adalah pemberian seorang pelanggan ketika dia bekerja di sebuah kedai haiwan itu.

Mohammed Haziq Mohammed Rodzi, 26, berkata, keunikan rupa bentuk haiwan eksotik adalah tarikan utama dia meminati haiwan berkenaan.

Begitu juga dengan aspek penjagaan haiwan itu yang lebih mudah berbanding haiwan kesayangan jenis berbulu.

"Kerana minat yang mendalam ini saya sanggup membelanjakan RM1,800 untuk membeli 'california king snake' dan mengkarong darat.

"Mungkin sesetengah orang melihat ia satu pembaziran, tetapi bagi pecinta haiwan eksotik, ia satu kepuasan apabila berjaya memiliki haiwan idaman," katanya.

Katanya, sebelum ini dia memiliki lima haiwan eksotik tetapi dua daripadanya sudah dijual.

"Saya membeli dua haiwan ini ketika usianya dua bulan dan kini membesar dengan sempurna.

"Malah saya memilih memelihara ular ini  kerana ia jarang terdapat di Malaysia. Sementara dalam kalangan pemain ular eksotik menganggapnya sebagai spesies yang sukar dijumpai.

Mohammed Haziq berkata, ular ini tergolongan dalam spesies tidak berbisa dan memilik saiz lebih kecil berbanding ular berbisa.

"Makanan utama ular ini ialah tikus sejuk beku yang dibeli dan diberikan makan seekor tikus dalam tempoh sekali atau dua minggu sekali.

"Indikator untuk menentukan ular lapar ialah apabila reptilia ini membuang najis dan selepas itu saya memberinya makanan seekor tikus," katanya.

Katanya lagi, genko ialah haiwan eksotik  seperti cicak tetapi perbezaannya ialah tidak boleh melekat pada dinding kerana mempunyai kuku.

'CALIFORNIA king snake' ditempatkan dalam sangkar.
'CALIFORNIA king snake' ditempatkan dalam sangkar.

'Leopard gecko'
'Leopard gecko'

'BLUE tongued skink' (mengkarong darat) dan 'leopard gecko'
'BLUE tongued skink' (mengkarong darat) dan 'leopard gecko'

"Saiz terkini genko ialah 15 sentimeter (cm) dan jenis makanan haiwan ini ialah lipas, cengkerik dan ulat roti.

"Mengikut jadual makanan haiwan ini ialah seminggu sekali tetapi saya memberinya makan lipas dua hari sekali," katanya.

Menurutnya, mengkarung darat pula adalah sejenis haiwan eksotik yang mempunyai tabiat berbeza iaitu boleh mengikut cakap, mengenali tuannya dan makan bersuap.

"Ketika membeli mengkarung darat saiznya ialah 7.5cm dan kini mencecah kepanjangan 46cm

"Haiwan ini turut memakan ayam, daging, buah-buahan dan serangga. Ia boleh makan setiap hari tetapi saya mengawal dietnya bagi mengelakkan terlebih berat badan.

"Saya menjaga diet haiwan kesayangan ini kerana berat badan berlebihan boleh mendatangkan penyakit," katanya.

"Antara penyakit yang pernah dialami mengkarung darat ialah cirit birit dan sukar salin kulit. Saya membawanya bertemu doktor veterinar eksotik bagi menjalani rawatan.

"Kos rawatannya agak mahal iaitu RM200 bagi sekali rawatan," katanya.

Katanya lagi, rutin menguruskan haiwan eksotik ini pada sebelah malam selepas pulang dari kerja.

"Cabaran memelihara haiwan eksotik ialah kekangan untuk mendapatkan bekalan makanan. Contohnya tikus dan serangga kerana kedai tutup awal, manakala saya pula pulang kerja lewat.

"Sementara itu, cabaran seterusnya ialah haiwan berkenaan menimbulkan bau dalam rumah. Oleh itu, saya akan memastikan persekitaran sangkar haiwan sentiasa  bersih  dan diuruskan setiap hari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Disember 2023 @ 7:00 AM