JAM saku milik penumpang terkaya kapal Titanic yang dijangka boleh dijual pada harga kira-kira RM893,615. FOTO Agensi
JAM saku milik penumpang terkaya kapal Titanic yang dijangka boleh dijual pada harga kira-kira RM893,615. FOTO Agensi
Agensi

London: Jam saku milik penumpang terkaya di atas kapal Titanic akan dilelong, dijangka boleh dijual pada harga 150,000 Pound Sterling (kira-kira RM893,615).

CBS News melaporkan lelongan untuk jam jenama Waltham bersalut emas 14 karat milik John Jacob Astor IV itu akan bermula Sabtu.

Menurut rumah lelongan Henry Aldridge & Son bahawa jam itu dilelong dengan bidaan permulaan 60,000 Pound Sterling (kira-kira RM357,428).

Jam yang diukir dengan huruf awalan JJA itu ditemui bersama mayat Astor apabila mayatnya ditemukan beberapa hari selepas Titanic karam.

Selain jam itu, barangan lain turut ditemui bersama jasad Astor pada waktu itu adalah cincin berlian, rantai manset emas dan berlian, mata wang England dan mata wang dolar Amerika Syarikat (AS).

"Astor terkenal sebagai penumpang terkaya di atas RMS Titanic dan dianggap antara orang terkaya di dunia pada masa itu, dengan nilai bersih kira-kira AS$87 juta (bersamaan dengan beberapa bilion dolar hari ini).

"Astor berada di Titanic bersama isteri, Madeleine. Taikun perniagaan itu yang berusia dalam lingkungan 40-an berkahwin dengan pasangannya berusia 18 tahun itu pada 11 September 1911," menurut kenyataan disiarkan rumah lelongan Henry Aldridge & Son.

Mayat Astor dan jam tangannya telah ditemui oleh kapal CS McKay-Bennett pada 22 April 1912.

Dalam kejadian Titanic karam yang mengorbankan lebih 1,500 pada 14 April 1912, isteri Astor terselamat.

"Jam ini sudah dipulihkan sepenuhnya selepas dikembalikan kepada keluarga Kolonel Astor.

"Dan ia pernah dipakai oleh anaknya menjadikannya bahagian unik dalam cerita Titanic dan satu bahagian paling penting dalam sejarah horologi yang berkaitan dengan kapal paling terkenal di dunia," kata rumah lelong.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2024 @ 12:46 PM