CICAK leopard gecko jantan induk yang dibelinya pada September 2021.
CICAK leopard gecko jantan induk yang dibelinya pada September 2021.
Hafiz Ithnin

Individu ini tidak menyangka dengan memiliki sepasang cicak leopard gecko dalam tempoh enam bulan, haiwan kesayangannya itu bunting sebanyak dua kali.

Setiap kali bunting, cicak leopard gecko miliknya mengeluarkan dua biji telur dan semuanya menetas serta mengeluarkan anak yang sihat.

Katanya, sebagai peminat haiwan kesayangan eksotik, dia tidak menyangka bakal mempunyai tambahan haiwan peliharaan itu dalam tempoh masa yang begitu singkat.

"Pada Februari tahun lalu, saya membeli seekor cicak leopard gecko betina pada RM300. Ketika itu, haiwan kesayangan yang diberi nama Donna berusia empat bulan.

"September tahun sama saya membeli seekor lagi leopard gecko jantan pada RM180. Ketika itu, usianya setahun empat bulan. Sebenarnya harga haiwan ini agak tinggi di pasaran bergantung kepada keunikan warna dan bentuknya. Ada yang pernah saya lihat dijual sehingga RM800 seekor," kata Nur Iman Rusdi.

KETIKA pasangan cicak leopard gecko milik Nur Iman mempunyai telur.
KETIKA pasangan cicak leopard gecko milik Nur Iman mempunyai telur.

Tambahnya, pada April lalu selepas membiarkan kedua-dua leopard gecko miliknya tinggal di tangki kaca yang sama, leopard gecko betina tanpa disangka mempunyai dua biji telur.

"Saya sememangnya tidak mempunyai pengalaman langsung untuk menjaga telur leopard gecko ini kerana hanya membuat persediaan untuk menjaga yang sudah dilahirkan sahaja.

"Pada awalnya, saya hanya biarkan sahaja sehingga hampir dua bulan kelihatan seperti tiada sebarang perubahan kepada telur itu. Saya menyangkakan, mungkin telur itu tidak menjadi, sehinggalah ibu memberitahu telur sudah bergerak dan menetaslah dua ekor anak leopard gecko yang baharu," katanya.

BEKAS yang bersih menjadi keutamaan dalam penjagaan cicak leopard gecho.
BEKAS yang bersih menjadi keutamaan dalam penjagaan cicak leopard gecho.

Iman berkata, kedua-dua anak leopard gecko itu diberikan kepada saudaranya yang mempunyai minat sama untuk memelihara haiwan eksotik.

Katanya, selepas dua bulan mempunyai dua anak leopard gecko, si betina mengeluarkan dua biji telur lagi dan pada kali ini dia mengasingkan telur-telur itu untuk diletakkan di sebuah bekas sebagai tangki inkubator.

"Menerusi pembacaan saya di laman sesawang mengenai penjagaan telur cicak leopard gecko, sebenarnya hanya perlu berada di dalam tempat gelap sahaja.

"Suhunya pula cukup pada kadar suhu bilik. Ada yang mengatakan perlu disimpan di dalam suhu 30 darjah Celsius. Tetapi saya hanya biarkan di dalam suhu bilik. Dalam tempoh dua bulan kemudian, lahir pula dua lagi leopard gecko yang kini dijaga oleh saya," katanya.

ANAK cicak leopard gecko yang menetas.
ANAK cicak leopard gecko yang menetas.

Katanya, menjaga cicak leopard gecko tidak begitu sukar kerana dietnya hanya serangga seperti lipas dubia atau lipas turkistan atau mealworm.

"Haiwan ini juga sebenarnya begitu manja dengan pemiliknya. Apabila diletakkan di atas bahu, ia akan berjalan di sekeliling kita sahaja.

"Walaupun mempunyai diet serangga, saya tidak pernah lagi digigit cicak leopard gecko atau mungkin juga disebabkan saya sentiasa pastikan haiwan itu dalam keadaan tidak lapar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 September 2022 @ 9:43 AM