LEOPARD gecko sering jadi pilihan golongan yang berjinak-jinak memelihara reptilia
LEOPARD gecko sering jadi pilihan golongan yang berjinak-jinak memelihara reptilia
Hafiz Ithnin

hafiz

MEMILIKI mata yang besar, warna menarik dan wajah seakan-akan gemar tersenyum menjadikan reptilia ini antara pilihan peminat untuk memilikinya sebagai haiwan kesayangan.

Malah, 'kesenangan' untuk menjaganya menjadikan leopard gecko atau nama saintifiknya Eublepharis macularius menjadi pilihan bagi mereka yang ingin berjinak-jinak memiliki haiwan reptilia.

Menerusi perkongsian portal, The Spruce Pets, leopard gecko adalah sejenis cicak kecil yang mudah didapati di Afghanistan, Iran, Utara India dan Pakistan.

Leopard gecko kebiasaannya mempunyai warna asas pada kulit yang berona kuning, putih dan bertompok hitam. Namun, ia juga mempunyai warna yang unik serta dijual pada harga yang lebih mahal.

Reptilia itu dikatakan mampu hidup lebih 20 tahun dan mampu mempunyai saiz antara lapan hingga 10 inci selain aktif pada sebelah malam.

Bagi peminat reptilia itu, leopard gecko adalah haiwan kesayangan yang 'manja' kepada pemiliknya dan tidak bersifat menyerang.

WAJAH seakan-akan ‘senyum’ menjadikannya reptilia yang comel.
WAJAH seakan-akan ‘senyum’ menjadikannya reptilia yang comel.

Dari segi penjagaan, leopard gecko tidak seperti beberapa jenis reptilia lain yang memerlukan penjagaan khusus seperti kadar kelembapan dan cahaya tertentu untuk menjamin kesihatannya.

Ia boleh hidup dalam keadaan cahaya biasa dan kadar kelembapan di ruang manusia tinggal juga sesuai untuk leopard gecko tinggal.

Memandangkan leopard gecko adalah reptilia yang aktif pada sebelah malam, kebiasaannya pemilik perlu menyediakan tempat persembunyian di dalam bekas simpanannya untuk haiwan berkenaan tidur pada sebelah siang, terutama jika ruang simpanan berada di tempat menerima cahaya yang banyak.

Leopard gecko menggunakan ekornya sebagai isyarat dan berkomunikasi. Sekiranya ekor digerak secara 'lambaian,' ia mungkin terasa terancam atau sedang beri tumpuan untuk menyerang serangga.

Tidak sekadar itu, jika anda mempunyai lebih daripada satu leopard gecko, lebih baik untuk mengasingkan tempat tinggal mereka kerana haiwan itu mudah merasa terancam dan akan menyerang antara satu sama lain, kecuali ketika pada musim membiak.

LEOPARD gecko aktif pada waktu malam.
LEOPARD gecko aktif pada waktu malam.

Dari segi pemakanan, leopard gecko mempunyai diet serangga seperti cengkerik dan ulat. Bagi leopard gecko dewasa kadang-kala, anak tikus boleh dijadikan dietnya.

Anak leopard gecko perlu diberi makanan beberapa kali sehari dan untuk dewasa kebiasaannya hanya diberikan dua hari sekali.

Dari segi kesihatannya, leopard gecko mudah mendapat penyakit metabolik tulang jika kurang mendapat diet kalsium dan vitamin D3. Penyakit itu menyebabkan kesan buruk kepada pertumbuhan tulangnya.

Antara simptom yang boleh dilihat jika ia mendapat penyakit itu ialah kurang selera makan dan anggota badannya sentiasa menggigil.

Bagi peminat leopard gecko tempatan, Aida Syahira Rozman, 30, dia mula mempunyai reptilia itu sejak 2015 dan tertarik kerana keunikan haiwan berkenaan.

Aida Syahira menambah, meskipun mempunyai kulit yang agak menggerutu tetapi reptilia itu sebenarnya comel kerana mulutnya yang sentiasa kelihatan seperti tersenyum.

"Sebelum memiliki leopard gecko, saya ada membuat sedikit pembacaan mengenai cara memeliharanya dan mendapati ia tidak begitu sukar berbanding reptilia lain yang memerlukan penjagaan khusus terutama cahaya.

SERANGGA menjadi santapan utama untuk leopard gecko.
SERANGGA menjadi santapan utama untuk leopard gecko.

"Jadi, leopard gecko adalah sesuai untuk mereka yang ingin berjinak-jinak memiliki haiwan kesayangan jenis reptilia kerana cara penjagaannya yang mudah dan tidak memerlukan kos tinggi," katanya.

Ketika ini, Aida Syahira mempunyai tiga ekor leopard gecko yang diberi nama Zulu, Leyma dan Naara. Malah, pernah sekali dia leopard gecko miliknya bertelur.

Katanya, dari segi harga kebiasaannya, leopard gecko dijual daripada pembiak bermula pada RM150 seekor dan ia boleh menjadi lebih mahal jika mempunyai keunikan tersendiri dan sukar untuk didapati.

"Memandangkan leopard gecko tidak memerlukan makanan yang kerap dan penyelenggaraan tempat tinggal yang rumit, saya hanya membelanjakan sekitar RM30 sebulan," katanya.

Ditanya mengenai keseronokan memiliki leopard gecko, katanya, haiwan itu adalah jenis manja dan amat mengenali pemiliknya.

"Apabila saya membawanya keluar berjalan-jalan, leopard gecko tidak seperti reptilia lain yang mudah lari tetapi akan setia berada dengan saya.

"Namun, sebagai pemilik kita perlu tahu mengenai tingkah lakunya terutama apabila dalam keadaan lapar, jangan pula ajak bermain," katanya.

LEOPARD gecko antara reptilia yang pembersih.
LEOPARD gecko antara reptilia yang pembersih.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 November 2021 @ 7:00 AM