Azalina pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pengerang di Dataran Tasik Bandar Penawar. FOTO IHSAN FB AZALINA
Azalina pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pengerang di Dataran Tasik Bandar Penawar. FOTO IHSAN FB AZALINA
Omar Ahmad


Kota Tinggi: Kerajaan Persekutuan sedang mengkaji cadangan membina sebuah hospital di Pengerang.

Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, cadangan itu selaras dengan kemajuan kawasan Pengerang yang semakin pesat membangun dengan kewujudan Projek Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid) selain destinasi pelancongan.

Katanya, cadangan itu sudah disuarakan dan disambut baik oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi pertemuan mereka baru-baru ini.

"Saya berbincang dengan Perdana Menteri berhubung perkara ini dan beliau memberi makluman bahawa cadangan saya ini akan dikaji dan bagaimana konsepnya nanti untuk ia diwujudkan.

"Kalau kita tengok projek Rapid, kita takut juga berlaku apa-apa kecemasan, memang (Rapid) ada kemampuan untuk bawa ke hospital swasta atau guna perkhidmatan helikopter, namun ia juga perlu melihat keadaan cuaca dan perlu guna jalan darat.

"Jadi saya harap, sekiranya hospital besar tidak dapat (dilaksana), sekurang-kurangnya ada satu pusat kecemasan dan kemalangan (diwujudkan) supaya kalau berlaku apa-apa, pusat berkenaan ada," katanya ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pengerang, di sini, malam tadi.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) berkata, walaupun hospital terdekat iaitu Hospital Kota Tinggi mempunyai kelengkapan untuk mendapatkan rawatan namun faktor jarak sejauh 50 kilometer, ditambah sekiranya berlaku kesesakan dan kemalangan, ia mungkin akan memberi risiko.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2024 @ 1:23 PM