KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Kelab Bolasepak Sri Pahang (SPFC), Datuk Mohammed Suffian Awang (kanan) dan pengurus pasukan Sri Pahang FC, Datuk Dollah Salleh. FOTO Asrol Awang
KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Kelab Bolasepak Sri Pahang (SPFC), Datuk Mohammed Suffian Awang (kanan) dan pengurus pasukan Sri Pahang FC, Datuk Dollah Salleh. FOTO Asrol Awang
Asrol Awang


Kuantan: Kelab Bolasepak Sri Pahang (SPFC) menolak khabar angin bahawa pemain berasal dari Nigeria, Anthony Nwakaeme bakal menyertai Sri Pahang bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/2025.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SPFC, Datuk Mohammed Suffian Awang dan pengurus pasukan, Datuk Dollah Salleh dalam kenyataan bersama mengakui terkejut Anthony yang juga adik Dickson Nwakaeme dikatakan akan menyarung jersi skuad Tok Gajah.

"Saya dan Datuk (Dollah) termasuk ketua jurulatih, Fandi Ahmad tidak tahu menahu khabar angin yang menyatakan bahawa adik Dickson (Anthony) akan menyertai Sri Pahang.

"Setakat ini, kita (SPFC) membuat keputusan hanya enam import yang diperkenalkan pada majlis pelancaran jersi Sri Pahang akan beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/2025.

"Kita mengharapkan barisan 25 pemain, termasuk enam import dapat membantu Sri Pahang mencatat pencapaian terbaik terutama menamatkan aingan Liga Super di kedudukan tiga teratas," katanya.

Baru-baru ini, Nwakaeme menerusi hantaran di media sosial dikatakan memaklumkan Anthony yang juga adiknya akan dibawa ke Pahang.

Difahamkan, Anthony yang beraksi bersama Al-Faha FC dari Liga Profesional Arab Saudi mampu memperkasakan jentera serangan jika menyertai skuad Tok Gajah.

Pada musim baharu ini, Sri Pahang mempertaruhkan enam import iaitu Kpah Sherman dari Liberia, Stefano Brundo (Argentina) dan Kuvondik Ruziev (Uzbekistan) yang beraksi musim lalu.

Manakala, tiga import baharu yang dibawa masuk ialah Mykola Ahapov dari Ukraine, Manuel Hidalgo (Argentina) dan Aleksandar Cvetkovic (Serbia).

Enam pemain baharu tempatan pula ialah Adam Nor Azlin, Sean Selvaraj, Asnan Ahmad, Hasnul Zaim, T Saravanan dan penjaga gol, Azfar Arif.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2024 @ 1:38 PM