SPRM
SPRM
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Dua anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad iaitu Tan Sri Mokhzani dan Mirzan menghargai lanjutan masa daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada mereka untuk mengikrarkan aset masing-masing.

Menerusi kenyataan media bersama, Mokhzani dan Mirzan berkata lanjutan masa itu adalah ke atas notis yang sudah diserahkan kepada mereka pada Januari di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009.

Mokhzani dan Mirzan turut memaklumkan bahawa mereka berdua bukan di bawah siasatan SPRM, tidak seperti yang dilaporkan oleh sesetengah media.

"Perintah notis yang diberikan kepada kami adalah sebagai "anak" kepada seseorang yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

"Kami memahami bahawa keseluruhan siasatan ini adalah untuk menentukan sama ada bapa kami, Tun Dr Mahathir bin Mohamad, telah menyalahgunakan kuasanya sebagai Perdana Menteri untuk memperkayakan kami.

"Kami menyangkal serta menolak tuduhan ini dan ingin membuktikan bahawa apa sahaja yang kami peroleh selama ini adalah melalui cara yang sah, menggunakan saluran yang betul dan tanpa membabitkan sebarang aktiviti jenayah.

"Memandangkan kami dikehendaki mengisytiharkan aset yang diperoleh selama tempoh 43 tahun dan disebabkan kekurangan rekod maklumat selama tempoh tersebut, ia akan banyak membantu kami sekiranya pihak SPRM boleh menentukan tempoh masa yang paling penting bagi siasatan mereka," kata mereka melalui kenyataan.

Mokhzani dan Mirzan berkata, terdapat juga sindiran yang menyatakan bahawa mereka memerlukan lebih banyak masa kerana kekayaan mereka yang terlalu banyak.

"Ini tidak benar sama sekali. Hakikatnya, kebanyakan dokumen sudah tidak lagi boleh didapati terutamanya dari institusi kewangan dan juga dari sektor awam.

"Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia contohnya hanya memerlukan pembayar cukai untuk menyimpan rekod yang mencukupi untuk tempoh tujuh tahun dan begitu juga dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

"Walaupun begitu, kami sedang berusaha sedaya upaya untuk mengumpulkan dokumen-dokumen ini tetapi ada yang hampir mustahil untuk diperolehi memandangkan ia tidak lagi wujud," katanya.

Pada 18 Januari lalu, SPRM dilapor memanggil Mirzan yang juga anak sulung Mahathir bagi membantu siasatan berkait kekayaannya dengan notis untuk mengisytiharkan harta dikeluarkan kepadanya.

Mokhzani pula dilapor disiasat disiasat di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 dan turut dikehendaki mengisytiharkan harta SPRM dalam tempoh ditetapkan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dipetik berkata, dua anak bekas Perdana Menteri itu boleh didakwa jika gagal mengisytiharkan harta mereka kepada agensi berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2024 @ 1:33 PM