Fairul Asmaini Mohd Pilus


BERMULA hanya memelihara dua ekor sugar glider di rumah, kini hobi Farah Sharmiza Ismail, 36, menjadi perniagaan kepada keluarganya.

Farah Sharmiza dan suaminya, Zuhaili Ismail mengambil keputusan membuka 'petting zoo,' Kulim Bird Park selepas jumlah haiwan peliharaan mereka sudah terlalu banyak untuk ditempatkan di rumah.

Selain lebih luas dan selesa, mini zoo itu juga membolehkan orang ramai bermesra dengan haiwan berkenaan yang semuanya jinak-jinak belaka.

Bercerita mengenai minatnya terhadap haiwan, Farah Sharmiza berkata, dia mula membela sugar glider yang diberi nama JC dan YT pada tahun 2011 kerana tertarik dengan sifatnya yang manja serta comel.

Selepas berjumpa dengan rakan yang mempunyai minat sama (membela haiwan), minat Farah Sharmiza terhadap haiwan lain seperti burung kakak tua dan ular mula bercambah.

Akuinya, dari situ dia mula minat membela haiwan lain dan mula mencari info berkaitan termasuk cara penjagaannya.

MINI zoo seluas 0.4 hektar yang terletak di Jalan Tunku Bendahara, Kulim, Kedah.
MINI zoo seluas 0.4 hektar yang terletak di Jalan Tunku Bendahara, Kulim, Kedah.

HAIWAN yang dibela perlu penjagaan rapi dan bukan hanya sekadar diberi makan sahaja.
HAIWAN yang dibela perlu penjagaan rapi dan bukan hanya sekadar diberi makan sahaja.

"Kini, selepas hampir 10 tahun, hampir 30 jenis haiwan berada dalam peliharaan antaranya

Sugar glider, burung merpati, burung kakak tua, skunk, rakun, ferret, ular, iguana, arnab, degu, kuda, rusa, cicak leopard gecko, crocodile skink, cicak sudan plated, landak, Blue tongue skink, anjing prairie dan kura-kura sulcata.

"Selain itu, hedgehog, guinea pig, burung merak, kuang emas, beberapa spesies katak (pacman, african bull frog, australian white tree), kala jengking dan tarantula juga turut dibela.

"Dalam semua itu, spesies yang sukar ditemui adalah striped skunk berwarna creamino kerana tidak ramai individu atau zoo yang membelanya," katanya kepada Harian Metro.

Farah Sharmiza berkata, dia menggemari haiwan sejak kecil lagi dan arwah bapanya juga gemar membela haiwan.

Katanya, ketika ini, dia mempunyai minat mendalam terhadap haiwan eksotik dan turut memiliki ular sawa albino Burma yang dipanggil Yellow.

"Ular sememangnya haiwan yang unik dan penjagaannya juga mudah. Ia tidak perlu diberi makan setiap hari," katanya.

YELLOW kesayangan Farah.
YELLOW kesayangan Farah.

Farah Sharmiza berkata, membela haiwan sebenarnya tidaklah sesukar mana jika seseorang itu mempunyai minat.

Ini kerana, kebanyakan haiwan berkenaan hanya makan dua kali sehari manakala ular dua minggu sekali.

Apa yang mungkin sukar kata Farah adalah dari segi penjagaan kerana sangkar perlu sentiasa dibersihkan bagi memastikan haiwan berkenaan sihat dan bebas penyakit.

"Kebanyakan haiwan terbabit makan makanan seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan dedak manakala untuk ular, makanannya hanyalah tikus serta ayam sahaja.

"Dalam sebulan, kos makanan untuk semua haiwan di sini dinaggarkan sekitar RM5, 000," katanya.

Menurutnya lagi, semua haiwan induk miliknya juga tidak dijual tetapi orang ramai boleh mendapatkan anak daripada baka induk berkenaan jika ada yang beranak.

Kata Farah Sharmiza, kasih dan sayangnya terhadap semua haiwan itu sukar untuk dijelaskan dengan kata-kata, ia bagaikan ahli keluarganya.

ANTARA haiwan yang ada di mini zoo berkenaan.
ANTARA haiwan yang ada di mini zoo berkenaan.

Katanya, perasaan sayang kepada haiwan peliharaan penting supaya proses penjagaan berjalan lancar.

"Sebelum membela, pastikan anda mendapatkan maklumat selengkapnya berkaitan corak pemakanan, tingkah laku dan habitat kerana setiap haiwan mempunyai tingkah laku serta perangai yang berbeza.

"Apapun, bela sebenarnya bukan setakat memberi makan sahaja tetapi perlukan masa dan duit, lebih dari itu, ia juga memerlukan perhatian daripada penjaganya," katanya.

Sementara itu, petting zoo seluas 0.4 hektar yang diuruskan bersama suaminya di Jalan Tunku Bendahara, Kulim, Kedah itu mula dibuka kepada orang ramai pada tahun 2019.

Apa yang Istimewanya, mini zoo berkonsepkan taman haiwan itu membenarkan pengunjung untuk memberi makan, bermesra dan bergambar dengan haiwan yang ada.

Ia dibuka setiap hari kecuali Isnin dari jam 10 pagi hingga 6 petang dan pengunjung perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Oktober 2021 @ 7:00 AM