MOHAMMAD bersama Iguana yang dipeliharanya.
MOHAMMAD bersama Iguana yang dipeliharanya.
ANTARA spesies ular yang ada dalam koleksi Mohammad.
ANTARA spesies ular yang ada dalam koleksi Mohammad.

FATIN FARHANA JAPRE pasti ramai remaja di luar sana yang takutkan haiwan eksotik seperti ular. Namun berbeza pula dengan minat anak muda ini yang menjadikan haiwan berdarah sejuk itu sebagai haiwan kesayangannya.

Lazimnya, ramai remaja memilih membela kucing atau arnab sebagai haiwan peliharaan mereka. Ini kerana haiwan itu amat mudah dijaga dan tidak berbahaya.

Lain pula bagi remaja yang sukakan cabaran dan kelainan, mereka akan memilih memelihara iguana, ular, buaya, atau musang sebagai haiwan kesayangan mereka.

Apabila melihat ular melintas berhampiran anda pun, pasti anda akan merasa takut dan melarikan diri. Namun tidak bagi Mohammad Nor Khair, 24, yang memang suka akan haiwan sejak kecil.

Menurut Mohammad, ketika masih kecil, dia yang akan mengejar ular jika melihat haiwan itu.

Minatnya terhadap haiwan eksotik bermula sejak empat tahun lalu. Dia mencari dan membeli seekor ular dari jenis Punti (Mangrove) secara atas talian pada harga RM70 saja.

“Ketika itu, saya memang tiada ilmu pengetahuan cara mengendalikan ular. Tanpa diduga, ular saya menggigit tangan dan menyebabkan tangan saya bengkak selama seminggu. Semasa membeli, penjual memang ada memberitahu ular itu berbisa sedikit tetapi saya langsung tidak trauma atau takut dengan peristiwa itu,” katanya.

Bahkan, peristiwa itu menjadikan Mohammad semakin berminat mengkaji lebih mendalam sifat sebenar ular. Dia mula membaca forum khas cara pengendalian ular dengan lebih mendalam di Internet. Selepas itu, koleksi ularnya semakin bertambah dari bulan ke bulan.

Pelajar jurusan Komunikasi Massa Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu berkata, dia pernah mempunyai 30 ekor ular berlainan spesies seperti Corn Snake, Milk Snake, Hognose Snake, Carpet Python, Ball Python, Bronzeback Snake dan King Snake.

Namun, kekangan masa dan keluarga yang tidak gemar akan minatnya menyebabkan dia mengambil keputusan memberikan beberapa ekor ular kesayangannya kepada rakan yang mempunyai hobi sama.

Sungguhpun begitu, dia tidak peduli dengan jumlah yang dilaburkan untuk haiwan peliharaannya itu.

Walaupun harganya mahal, dia sanggup berbuat apa saja untuk mendapatkannya.

“Setiap minggu, saya memperuntukkan RM100 untuk membeli makanan bagi menjamu semua ular saya. Kadang-kadang saya beri makan burung puyuh kerana ia jauh lebih murah dari tikus. Duit bukan masalah bagi saya kerana saya ada membuat kerja sambilan untuk menampung keperluan haiwan saya.

“Sebenarnya, ular antara haiwan eksotik paling manja. Mungkin ada remaja takut dengan ular tetapi cuba pegang dan rasakan sendiri. Haiwan ini bukanlah ganas seperti yang anda semua bayangkan. Ia bergantung kepada cara kita mengendalikannya.

“Sebelum ini juga, saya pernah menjual seekor ular peliharaan saya kerana ada yang ingin membeli tetapi saya rasa sangat menyesal. Itulah kali pertama dan terakhir. Saya baru sedar saya pelihara kerana minat dan bukan untuk menjadikan sumber pendapatan saya,” katanya.

Lantaran itu, anak ketujuh daripada lapan beradik itu turut berkongsi detik lucu keluarganya yang memang geli dan takut dengan ular.

Pernah suatu hari, ular terlepas dari sangkar dan adiknya menghubungi Mohammad yang ketika itu dalam kuliah di Shah Alam. Dia tiada pilihan lain justeru terpaksa balik menangkap ular yang terlepas.

“Awalnya, memang ayah menentang hobi saya ini namun saya tetap degil dan menjadikan bilik tidur sebagai tempat menyimpan ular peliharaan. Disebabkan ayah tidak mahu saya tidur dengan haiwan, dia menyediakan satu bilik khas untuk saya menyimpan ular saya. Sejak ada bilik, koleksi saya semakin bertambah dan saya semakin teruja membela haiwan eksotik yang lain,” katanya.

Menurutnya lagi, remaja yang mungkin berminat untuk mencuba kelainan, cubalah sendiri memelihara haiwan eksotik seperti ular. Mungkin dari luaran kita nampak ia haiwan yang ganas tetapi percayalah, ular spesies haiwan manja dengan tuannya. Selain ular, dia turut mempunyai koleksi haiwan eksotik lain seperti Iguana, Leopard Gecko, Bearded Dragon dan Tarantula.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mac 2015 @ 5:00 AM