Sebahagian daripada penyokong mula berkumpul di perkarangan Pekan Kuala Kubu Bharu sebelum berarak ke Dewan Serbaguna Kuala Kubu Bharu sempena Hari Penamaan Calon PRK N 06 KKB. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Sebahagian daripada penyokong mula berkumpul di perkarangan Pekan Kuala Kubu Bharu sebelum berarak ke Dewan Serbaguna Kuala Kubu Bharu sempena Hari Penamaan Calon PRK N 06 KKB. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu, Selangor hari ini, terkawal dan tiada sebarang kekecohan.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala berkata, seramai 284 pegawai dan anggota polis ditugaskan sepanjang proses penamaan calon berkenaan.

Menurutnya, pihaknya turut dibantu 15 pegawai dan anggota daripada Majlis Perbandaran Hulu Selangor.

"Semasa proses penamaan dibuat, seramai 1,310 penyokong daripada tiga parti hadir di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor yang dijadikan Pusat Penamaan Calon.

"Pusat penamaan berada dalam keadaan terkawal dan berjalan lancar tanpa ada sebarang kekecohan yang berlaku," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sasikala berkata, polis berterima kasih kepada semua parti politik bertanding kerana memberikan kerjasama dan mematuhi peraturan ditetapkan oleh Polis Diraja Malaysia serta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Beliau berharap kerjasama itu dapat diteruskan sehingga hari pengundian.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan calon Bebas.

PH mempertaruhkan Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Pang Sock Tao mewakili Kerajaan Perpaduan, dicabar pemangku Ketua Bahagian BERSATU Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut mewakili PN.

Sementara PRM diwakili Hafizah Zainuddin dan Nyau Ke Xin bertanding atas tiket Bebas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2024 @ 12:42 PM