GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Johor merekodkan satu kematian baharu akibat Covid-19 pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-51.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon berkata, tiga lagi pesakit masih dirawat Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 123 pesakit di wad biasa.

Katanya, pola pelaporan Covid-19 di Johor dalam tempoh beberapa bulan ini menunjukkan peningkatan mendadak.

"Kerajaan Johor dan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) akan terus memantau perkembangan jangkitan Covid-19, sekali gus memastikan langkah pencegahan dan kawalan dilaksanakan secara berterusan.

"Secara kumulatif Johor Bahru merekodkan pelaporan kes Covid-19 tertinggi sehingga ME 51 iaitu sebanyak 2,431 kes, diikuti Kulai (885) dan Batu Pahat (812).

"Sehingga Sabtu lalu, secara kumulatif terdapat 404,309 kes Covid-19 yang telah dilaporkan di Johor, yang mana 401,216 kes adalah jangkitan tempatan.

"Baki 3,093 adalah kes Import. Purata Kadar Insiden Harian Covid-19 untuk ME 51 adalah 8.44 untuk setiap 100,000 penduduk," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tian Soon berkata, Kerajaan Johor memandang serius situasi terkini Covid-19 dan menasihati orang ramai supaya terus berwaspada ketika musim cuti perayaan yang panjang.

"Orang ramai digalakkan untuk terus mengamalkan penjagaan kesihatan seperti memakai pelitup muka selain mengelak 3S iaitu tempat sesak, sempit dan sembang rapat.

"Individu yang belum menerima dos penggalak vaksin Covid-19 dinasihatkan supaya segera mendaftar dan mendapatkan vaksin bagi melindungi diri dan keluarga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Disember 2023 @ 4:38 PM