Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Datuk Kamaruddin Md Nor (kanan) ketika hadir Majlis Asean Festival 2024 di Thailand, Pattani. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Datuk Kamaruddin Md Nor (kanan) ketika hadir Majlis Asean Festival 2024 di Thailand, Pattani. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Nor Fazlina Abdul Rahim


Pattani: Kerajaan memutuskan bas pelancongan dari Thailand dibenarkan masuk ke Kelantan berkuat kuasa kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Kelantan Datuk Kamaruddin Md Nor berkata, berita gembira itu diputuskan Kementerian Pengangkutan selepas beliau mengadakan pertemuan dengan Menteri Pengangkutan Anthony Loke berhubung perkara itu.

"Saya baru saja dikhabarkan berita gembira ini bahawasanya bas pelancongan dari Thailand dibenarkan masuk ke Kelantan.

"Bagaimanapun, bas pelancongan terbabit perlu masuk melalui ejen pelancongan yang terdapat di Kelantan dan perlu mengisi borang yang disediakan iaitu borang permohonan lintas sempadan.

"Kita mempunyai 55 syarikat ejen pelancongan dan kesemua senarai berkenaan akan diberikan kepada pihak pelancongan Thailand bagi memudahkan mereka memilih ejen mana yang mereka mahu," katanya ketika ditemui di majlis Festival Asean di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Kamaruddin berkata, bas pelancongan berkenaan hanya dibenarkan masuk ke Kelantan dan tidak boleh sampai ke negeri lain termasuk Terengganu.

"Setakat ini, kerajaan buat keputusan membenarkan bas masuk ke Kelantan memandangkan kita ada memohon sempena Tahun Melawat Kelantan tahun ini. Dengan keputusan ini kita yakin ramai pelancong dari Thailand akan datang ke Kelantan.

"Pada masa sama, saya akan mengadakan perbincangan dengan ejen pelancongan di Kelantan supaya tidak mengenakan harga yang tinggi.

"Usaha kita adalah mahu menarik pelancong dan sekiranya harga yang mahal dikenalan, sudah tentu mereka tidak berminat untuk ke Kelantan," katanya.

Media sebelum ini melaporkan Kelantan akan mengadakan perjumpaan dengan Anthony berhubung larangan kemasukan bas dari Thailand ke negeri sempadan termasuk negeri itu.

Sementara itu, Persatuan Perdagangan dan Pelancongan Halal Thai Asean Aida Oujeh berkata, dia menyambut baik berita gembira itu.

Menurutnya, jika sebelum ini pelancong dari Thailand sukar untuk masuk ke Thailand memandangkan pengangkutan bas dilarang dan dengan kebenaran terbaharu ini, dia yakin ramai akan melancong ke Kelantan.

"Jika sebelum ini kebanyakan pelancong dari Thailand akan pergi ke Pulau Pinang menggunakan pesawat dan selepas ini pastinya Kelantan akan menjadi pilihan pelancong," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2024 @ 1:01 PM