Nurul Husna Mahmud


Kalau sudah namanya pencinta haiwan, membelanjakan ribuan ringgit untuk memiliki cicak eksotik terutama spesies sukar ditemui adalah perkara biasa bagi pengumpul haiwan.

Itu diakui pemilik lebih 15 spesies cicak eksotik, Nursyahidatul Wahida Muhammad Halim, 23, yang terbiasa dikelilingi pelbagai haiwan eksotik terutama reptilia.

Kata Nursyahidatul Wahida, jika dihitung kos atau perbelanjaan bagi membeli dan memelihara spesies cicak eksotik dalam koleksi peribadinya, nilainya tidak kurang lima angka.

"Minat saya terhadap haiwan eksotik sebenarnya dipengaruhi oleh bapa, Muhammad Halim Zainal Abidin, 41, yang cenderung memelihara pelbagai spesies burung dan haiwan eksotik.

"Saya belajar apabila membantu bapa menjaga dan mengurus haiwan berkenaan. Bapa saya lihat minat dan komitmen seiring lalu dia belikan spesies cicak eksotik sebagai sokongan kepada hobi terbabit.

"Rasanya koleksi pertama yang bapa saya belikan adalah spesies gecko diimport dari Indonesia pada usia saya 12 tahun," katanya.

Menyifatkan ciri-ciri dimiliki spesies cicak eksotik yang mengundang rasa 'geli' ramai orang, tetapi cukup istimewa bagi Nursyahidatul Wahida.

"Majoriti yang geli atau tidak sanggup bela cicak adalah kerana tekstur badannya licin dan 'lembik.'

"Tetapi, bagi saya yang sudah biasa dengan spesies cicak ini melihat tekstur, bentuk badan dan tona warna adalah 'kecantikan' pada spesies terbabit.

"Seperti koleksi cicak eksotik kegemaran saya iaitu Leopard Gecko merujuk kepada tokek harimau bintang.

"Tompok hitam dengan sedikit tona warna kuning membuatkan ia menonjol dan lebih menarik berbanding cicak tokek atau gecko tempatan.

"Ketika ini banyak diimport dari Indonesia dan Filipina kerana sudah ada pembiak baka mempunyai pelbagai varian menarik begitu juga dengan kadar juga berbeza mengikut varian atau warna," katanya.

Ciri-ciri lain membuatkan cicak tokek import menjadi pilihan kerana jauh lebih mudah dijinakkan berbanding cicak tokek tempatan.

"Leopard Gecko menjadi pilihan kebanyakan peminat reptilia untuk dipelihara kerana lebih 'manja.'

"Ciri-ciri manja cicak ini apabila dipegang tiada tindak balas agresif seperti menggigit atau melibas. Cicak tokek tempatan lebih sukar dijinakkan," katanya.

DOMINAN dan tidak hidup dalam koloni.
DOMINAN dan tidak hidup dalam koloni.

Selain tokek import, dua lagi spesies cicak eksotik cukup unik dalam koleksi Nursyahidatul Wahida adalah Sailfine Dragon dan Blue Tongue Dragon mencecah harga ribuan ringgit.

"Kalau spesies cicak eksotik jarang ditemui atau paling sukar didapati dalam senarai penjual atau pengimport adalah Sailfine Dragon dan Blue Tongue Dragon.

"Sailfine Dragon sebenarnya sukar ditemui kerana habitat dalam hutan dalam dan tebal. Kita sendiri sedia maklum, cicak rumah pun kalau jumpa manusia ia akan lari sembunyikan diri apatah lagi dari habitat liar.

"Ketika usia tiga minggu harga cecah ribuan ringgit. Bayangkan kalau harga dewasa terutama kalau sepasang untuk tujuan induk, harganya jauh lebih mahal.

"Termasuk Blue Tongue Dragon kerana kesukaran mendapatkan stok atau dalam pasaran jumlahnya sangat terhad," katanya.

Sudah namanya cicak eksotik, kata Nursyahidatul Wahida, dia memastikan penjagaan untuk setiap cicak dalam koleksinya terbaik.

"Sebenarnya setiap spesies memiliki ciri-ciri tersendiri dan tidak boleh dipukul rata. Sebagai contoh, walaupun semua spesies ini dalam keluarga sama, tetapi mereka tidak boleh hidup dalam satu akuarium atau bekas.

"Ancaman iaitu spesies cicak besar masih boleh menyerang atau mencederakan spesies cicak kecil sehingga boleh mati.

"Lebih selamat simpan satu atau dua spesies mengikut spesifikasi kotak simpanan sesuai supaya tidak merisikokan keselamatan cicak yang ada.

"Cicak eksotik boleh mati akibat stres yang mana ekor akan terputus dan mogok tidak mahu makan sehingga kebuluran," katanya.

Kata gadis itu, kehilangan gecko kesayangan dipelihara hampir empat tahun pada tahun lalu antara kenangan tidak boleh dilupakan sepanjang memelihara spesies cicak terbabit.

"Kematian cicak kesayangan saya yang dipelihara lebih empat tahun kira-kira tiga bulan lalu memberi kesan. Murung juga.

"Cicak itu antara koleksi paling 'manja' kerana tidak banyak kerenah apabila diletakkan pada orang lain. Cicak kesayangan saya itu juga mudah diurus dan sangat menurut arahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 January 2023 @ 7:00 AM