MATA leopard geckos yang menarik perhatian. - FOTO Pexels
MATA leopard geckos yang menarik perhatian. - FOTO Pexels
Nurul Husna Mahmud


Jika mahu memulakan hobi memelihara haiwan eksotik, cicak antara pilihan yang bagus.

Bagaimanapun, keluarga reptilia terbabit memerlukan tahap penjagaan khusus yang tinggi.

Sebagai contoh, cicak adalah haiwan 'ektotermik' (berdarah sejuk). Ini bermakna cicak menggunakan habitat untuk mengawal suhunya.

Oleh itu, persekitaran habitat itu perlu disesuaikan dengan spesifikasi tertentu antaranya ada haba tertumpu di satu kawasan serta suhu atau keadaan lebih sejuk di kawasan lain.

Selepas melaras habitat sesuai dengan keperluan cicak, pemilik yang mahu memulakan hobi memelihara haiwan itu perlu memilih spesies sesuai supaya ia dapat dikendalikan dengan baik.

Berikut antara spesies atau jenis cicak peliharaan yang disarankan untuk pemilik pertama kali berhasrat memelihara haiwan itu.

1. Leopard geckos

Leopard geckos lebih dikenali sebagai 'Leos' ialah salah satu reptilia terbaik untuk pemilik baru yang berjinak-jinak memelihara haiwan eksotik itu.

Keperluan penjagaan mereka adalah asas dan mudah selain biasanya cicak itu mudah diuruskan.

Cicak itu mempunyai pelbagai warna, corak dan bentuk yang menarik untuk ditonton peminatnya.

Leos juga adalah nokturnal dan kebanyakannya tinggal di permukaan tanah. Reptilia terbabit tidak memanjat dinding dan itu menjadikan Leos lebih mudah untuk dijinakkan.

Bagaimanapun, haiwan itu mempunyai kelopak mata yang luar biasa untuk spesies cicak tokek.

Habitat cicak terbabit ialah dalam tangki dengan saiz minimum 10 gelen diperlukan dan lebih baik dipelihara dalam akuarium atau kotak kaca dengan ruang atas terbuka yang lebih besar.

PERSEKITARAN mempengaruhi cicak berdarah sejuk. - FOTO Pexels
PERSEKITARAN mempengaruhi cicak berdarah sejuk. - FOTO Pexels

BEARDED dragon boleh membesar. - FOTO Pexels
BEARDED dragon boleh membesar. - FOTO Pexels

AKUARIUM atau kotak kaca perlu disesuaikan mengikut spesies dan keperluan.
AKUARIUM atau kotak kaca perlu disesuaikan mengikut spesies dan keperluan.

2. Bearded dragon

Bearded dragon mempunyai tabiat yang mesra dan tenang, menjadikan haiwan itu mudah untuk dikendalikan.

Oleh itu, cicak ini sangat sesuai untuk pemula kerana biasanya agak jinak. Jarang sekali ia bertingkah laku agresif.

Bagaimanapun, keperluan pemakanan dan keperluan persekitaran mereka sedikit lebih kompleks.

Haiwan itu ditempatkan dalam akuarium atau kotak plastik bersaiz 55 hingga 75 gelen.

Disebabkan habitat semula jadinya di atas pokok, adalah penting untuk memastikan tangki itu tertutup kemas. Penting juga mengekalkan tahap suhu dalam tangki antara 27 hingga 29 darjah Celsius.

3. Crested gecko

Crested gecko adalah unik, menarik, mudah diurus dan salah satu reptilia haiwan kesayangan yang paling terkenal di dunia.

Cicak ini cantik dan ada dalam pelbagai jenis corak dan warna. Memandangkan ia antara pilihan popular, cicak ini banyak dibiakkan dengan variasi corak yang berbeza dicipta.

Jangka hayat cicak ini biasanya berkisar antara 15 hingga 20 tahun, jadi komitmen pemiliknya adalah panjang.

Gecko ini juga hendaklah ditempatkan dalam saiz tangki minimum 20 gelen dan ia banyak menghabiskan sebahagian besar masa di atas pokok, jadi ingat untuk menyediakan persekitaran serupa yang membolehkan ia melakukan gerakan menegak dan memanjat.

Pemilik boleh menggunakan pelbagai pokok, kayu hanyut dan buluh sebagai dahan memanjat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2024 @ 6:43 AM