HUJAN batu bersaiz tenis melanda Itali. FOTO Luca Zaia/Twitter
HUJAN batu bersaiz tenis melanda Itali. FOTO Luca Zaia/Twitter
Agensi

Rom: Sekurang-kurangnya 110 orang cedera selepas hujan batu sebesar bola tenis melanda wilayah utara Itali, baru-baru ini.

Presiden Veneto, Luca Zaia berkata, dalam kejadian ribut mengejut, hujan batu dengan diameter sehingga 10 sentimeter (sm) itu meliputi jalan di sekitar wilayah itu.

"Gelombang cuaca buruk, selepas menjejaskan kawasan pergunungan kita, kini turut melanda dataran, menyebabkan kecederaan kepada beberapa orang.

"Kebanyakan kecederaan berpunca daripada kaca yang pecah dan orang tergelincir di atas batu berais itu," katanya seperti dilaporkan CNN.

Perlindungan awam wilayah Veneto berkata, jabatan kecemasan menerima lebih 500 panggilan untuk bantuan akibat kerosakan harta benda dan kecederaan.

Pekerja mengeluarkan kaca dari tingkap yang pecah dan memotong pokok dan tumbuhan lain yang rosak teruk akibat ribut.

Seorang lelaki berusia 53 tahun yang menunggang basikalnya maut, semasa ribut, dilanggar kereta dipandu isterinya, lapor Sky24.

Eropah menyaksikan perubahan mendadak dalam cuaca tahun ini.

Itali, Sepanyol dan Greece menghadapi gelombang panas, dengan ibu negara Itali, Rom, mencatatkan rekod baharu untuk suhu harian paling tinggi.

Ketua Persatuan Meteorologi Itali, Luca Mercalli berkata, bumi mengalami gelombang perubahan iklim teruk dan Itali salah sebuah negara yang terkesan.

Pada Mei lalu, sebahagian satu wilayah di utara Itali, Emilia Romagna, mengalami banjir 'sekali dalam satu abad' apabila air di lebih 20 sungai melimpah dari tebing hingga mengakibatkan tanah runtuh.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Ogos 2023 @ 11:37 AM