KEADAAN banjir di Rom. FOTO/AGENSI
KEADAAN banjir di Rom. FOTO/AGENSI
AFP

ROM: Angin kencang dan hujan lebat meragut sekurang-kurangnya 20 nyawa di Itali minggu ini selain menyebabkan ribuan hektar hutan di utara negara berkenaan seperti dilanggar garuda.

Seorang wanita warga emas berusia 87 tahun dan pelancong lelaki dari Jerman berusia 62 tahun terbunuh dipanah petir di Sardinia, semalam.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang maut akibat cuaca buruk di Itali kepada 20 orang sejak awal minggu ini.

Agensi kaji cuaca meramalkan angin kencang dan hujan lebat akan berterusan sepanjang minggu.

Ribuan pokok yang tumbuh di kawasan pergunungan sekitar Dolomites turut tumbang, diratakan oleh angin kencang yang melanda keseluruhan kawasan Veneto Khamis lalu.

“Ia seperti gempa bumi,” kata gabenor Veneto, Luca Zaia.

“Ribuan hektar hutan rebah ke bumi, seperti ditebang dengan gergaji elektrik gergasi. Kejadian terbabit turut menyebabkan 160,000 penduduk di kawasan itu terputus bekalan elektrik manakala beberapa lokasi di Dolomites kini kelihatan seperti permukaan bulan,” katanya.

Sementara itu dua pesara berusia 74 dan 73 tahun maut dalam ribut di utara negara itu apabila kereta mereka ditimpa pokok yang tumbang di Aosta Valley.

Seorang lagi mangsa terjatuh ke dalam sungai dan dihanyutkan arus.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 November 2018 @ 1:52 PM