FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Agensi

London: Seorang wanita di United Kingdom (UK) menerima rahim yang didermakan daripada kakaknya, dalam pembedahan pemindahan rahim pertama dijalankan oleh pakar bedah di negara itu.

Independent melaporkan, kakaknya yang berusia 40 tahun gembira mendermakan rahimnya kerana sudah mempunyai dua anak dan tidak mahu lagi menambah cahaya mata.

Penerima rahim itu yang tidak mahu namanya didedahkan, menjalani pemindahan rahim dalam pembedahan lebih sembilan jam di Hospital Churchill di Oxford, pada awal Februari lalu.

Prof Richard Smith, seorang daripada pakar bedah utama berkata, pengalaman itu agak luar biasa sambil menyifatkan pembedahan itu adalah kejayaan besar.

Penerima rahim, yang berusia 34 tahun itu, dan tinggal di England, menyimpan embrio yang dibekukan kerana mempunyai rancangan untuk menjalani kaedah persenyawaan in-vitro (IVF) IVF pada tahun ini.

Profesor Smith, perunding pakar bedah ginekologi di Imperial College Healthcare NHS Trust, menambah bahawa tempoh pembedahan luar biasa itu mungkin minggu yang paling tertekan dalam kerjayanya.

"Tetapi saya juga sangat positif apabila penderma dan penerima rahim itu dalam keadaan baik," katanya sambil menjelaskan pembedahan itu membabitkan lebih 30 kakitangan.

Pakar bedah dan kakitangan perubatan yang terbabit dalam pemindahan itu tidak dibayar untuk masa mereka.

Kos pemindahan rahim itu adalah kira-kira 25,000 pound sterling (kira-kira RM145,935) dan ia dibayar dengan sumbangan daripada badan amal Womb Transplant UK.

Wanita yang menerima pemindahan rahim itu dilahirkan dengan Mayer-Rokitansky-Kuster-Hauser (MRKH) - keadaan jarang berlaku yang memberi kesan kepada kira-kira satu dalam setiap 5,000 wanita.

Wanita yang mengalami keadaan ini mempunyai faraj yang kurang berkembang dan rahim yang tidak berkembang sepenuhnya atau hilang, dalam beberapa kes.

Tanda pertama keadaan itu adalah apabila seorang gadis remaja tidak mengalami haid.

Namun begitu, ovari mereka masih berfungsi untuk menghasilkan telur dan hormon wanita, bermakna mereka berpotensi hamil melalui rawatan kesuburan.

Rahim dalam pemindahan itu dijangka bertahan selama maksimum lima tahun sebelum ia dikeluarkan semula.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Ogos 2023 @ 12:27 PM