SUNTIKAN ubat-ubatan setiap hari untuk merangsang pengeluaran telur.
SUNTIKAN ubat-ubatan setiap hari untuk merangsang pengeluaran telur.
PERSENYAWAAN antara sperma dan telur dilakukan di dalam makmal oleh pakar embriologi.
PERSENYAWAAN antara sperma dan telur dilakukan di dalam makmal oleh pakar embriologi.
PESAKIT akan menjalani pemeriksaan sebelum rawatan dimulakan.
PESAKIT akan menjalani pemeriksaan sebelum rawatan dimulakan.
Oleh Siti Zarinah Sahib


Selepas menemui kegagalan rawatan permanian berhadas (Intra Uterine Insemination atau IUI), pasangan Mazni, 32, dan Amran, 32, yang sudah mendirikan rumah tangga selama lima tahun berhasrat menjalani persenyawaan in vitro (IVF) atau bayi tabung uji kerana berasa ia peluang terakhir untuk mendapatkan zuriat.

Selepas mendengar kos yang perlu dibayar mencecah puluhan ribu ringgit, mereka berasa ia terlalu ting­gi dan memerlukan masa untuk mengumpul duit sebanyak itu.

Ini menyebabkan ramai pasangan tidak mampu dan terpaksa menangguhkan rawatan atau mengetepikannya. Ini sekali gus me­ngurangkan peluang untuk membina keluarga daripada baka mereka sendiri. Penang­guhan untuk menabung wang juga kerap kali mengambil masa yang lama dan tanpa disedari tahun bersilih ganti, umur pasa­ngan wanita juga meningkat.

Kajian membuktikan umur wanita adalah faktor utama yang akan menentukan kadar kejayaan IVF. Kejayaan IVF akan menurun dengan mendadak selepas wanita berumur 35 tahun.

Menyedari terdapat kekangan yang menghalang pasangan menjalani rawatan IVF yang bukan saja membabitkan kos yang ting­gi serta usia pasangan, satu program dinamakan IVFku di bawah Pusat Fertiliti KL dilancarkan bertujuan me­ngurangkan kos yang dihadapi pasangan terutama mereka yang benar-benar memerlukan IVF.

Rawatan ini membabit­kan kos yang berpatutan dengan inovasi saintifik, ringkas tanpa kompromi terhadap kejayaan rawatan IVF itu. Setiap pasangan akan dinilai dan dipilih bagi menerima rawatan mengikut keperluan individu masing-masing.

Menurut Pakar Obstetrik dan Ginekologi Pusat Fertiliti KL, Dr Natasha Ain Mohd Nor, IVF adalah suatu proses yang boleh mendatangkan tekanan emosi dan fizikal yang tinggi kepada pasa­ngan yang terpaksa melaluinya. Ini disebabkan beberapa faktor termasuk harga kos IVF yang agak mahal, prosedur rawatan yang invasif seperti suntikan ubat-ubatan pada setiap hari untuk merangsang telur, imbasan melalui faraj bagi memantau perkembangan folikel di dalam ovari dan suntikan jarum bagi mengambilan darah untuk memeriksa paras hormon di dalam badan.

Selepas melalui rawatan IVF yang agak invasif dan sangat intensif ini, kadar kejayaan IVF hanya dalam lingkungan 30 hingga 50 peratus bergantung kepada beberapa faktor seperti umur pasangan wanita, kualiti telur atau sperma dan kaedah rawatan.

Ini menyebabkan keba­nyakan pasangan terutama wanita tidak sanggup untuk melalui rawatan IVF buat kali kedua atau berikutnya apabila rawatan pertama mereka gagal. Oleh itu, satu daripada cara mengurang­kan kos IVF adalah ­dengan mengurangkan jumlah peng­gunaan ubat suntikan untuk rangsangan ovari yang membabitkan kos tinggi semasa IVF yang dikenali sebagai program IVFku.

"Di luar negara khususnya Jepun prosedur IVFku sudah lama digunakan dan mendapat kejayaan serta maklum balas yang sangat memberangsangkan daripada pesakit. Ini kerana prosesnya membabitkan rejimen yang unik, praktikal dan mesra pelanggan. Secara keseluruhannya, ia me­ngikut proses yang sama namun dengan kos yang lebih rendah," katanya.

Menurut Dr Natasha, IVF konvensional biasanya melalui beberapa prosedur yang lebih rumit iaitu melalui suntikan hormon untuk wanita pada hari kedua selepas haid setiap hari bertujuan merangsang kilang telur untuk menghasilkan lebihan folikel. Kemudian pasangan lelaki diminta memberikan contoh sperma yang akan disenyawakan oleh pakar embriologis. Embrio terbaik dan paling elok akan dimasukkan kembali ke dalam rahim menerusi prosedur pemindahan embrio.

"Menerusi IVFku, oleh kerana suntikan yang dilakukan berkurangan, pembentukan telur yang dapat dikutip ketika proses penghasilan telur (oocyte retrieval) adalah dalam kuantiti yang kecil, tapi berkualiti. Ini dapat memberikan mereka embrio terbaik supaya dapat menyediakan peluang cerah untuk membina keluarga sendiri. Pengurangan kos IVF juga disebabkan pemantauan imbasan yang kurang intensif dan pengambilan ujian darah beberapa kali. Ini me­nyebabkan wanita tidak perlu kerap mengunjungi klinik," katanya.

Di samping kaedah yang lebih mudah dan ringkas, IVFku memberikan kesan sampingan berkurangan berbanding IVF konvensional. Risiko seperti sindrom hiperstimulasi ovari (OHSS) tidak ada sama sekali. Boleh dikatakan IVFku ini lebih mesra pesakit. Oleh itu, tidak hairan sekiranya kajian saintifik menunjukkan kadar kegagalan selepas rawatan IVF untuk rejimen ini jauh lebih rendah berbanding kaedah konvensional IVF.

Kaedah rawatan IVFku

Apakah yang membezakan rawatan IVF konvensional dengan IVFku?

Menurut Dr Natasha, IVFku menawarkan perkhidmatan yang sama dengan rawatan yang biasa dilakukan termasuk suntikan sperma intracytoplasmic (ICSI) dan pemindahan embrio beku. Sekiranya pesakit memerlukan rawatan yang lebih kompleks seperti ujian genetik, pesakit akan dirujuk kepada pakar kesuburan. Rawatan IVFku mudah, ringkas dan singkat supaya dapat mengurangkan tekanan yang dihadapi pasangan yang melalui rawatan IVF.

"Ini kerana IVF adalah satu pengalaman yang sukar, justeru, rejimen IVFku yang mesra dapat mengurangkan bebanan wanita untuk memudahkan perjalanan fertiliti mereka," katanya.

IVF adalah kaedah suntikan ubat diberikan kepada wanita untuk merangsang ovari supaya menghasilkan lebih banyak telur. Telur yang dirangsang ini akan diekstrak melalui prosedur dinamakan oocyte retrieval menerusi tebukan halus melalui faraj menggunakan jarum kecil di dalam bilik pembedahan. Persenyawaan antara sperma dan telur akan dilakukan di dalam makmal oleh pakar embriologi.

Embrio yang terbentuk akan dipindahkan ke dalam rahim wanita. Di IVFku, hanya dua embrio saja yang akan dipindahkan ke dalam rahim. Sekiranya terdapat lebihan embrio yang terhasil, ia akan dibekukan untuk kegunaan pada masa akan datang.

Kaedah suntikan sperma Intrasitoplasmik (ICSI) adalah satu teknik persenyawaan yang akan digunakan apabila terdapat masalah kualiti dan kuantiti sperma. Ia membabitkan prosedur apabila pakar embriologi akan menyuntik satu sperma ke dalam satu telur. Embrio yang terbentuk akan dipindahkan ke dalam rahim. Kaedah ketiga iaitu pemindahan embrio beku (FET) adalah prosedur apabila embrio yang dibekukan akan dinyahbekukan dan dipindahkan ke dalam rahim wanita pada waktu yang sesuai.

"Ketiga-tiga kaedah ini bergantung kepada kesesuaian dan tahap kesihatan pasangan. Ketiga-tiganya melalui proses yang lebih ringkas dan mudah, malah tidak membebankan wanita dan pasangannya," katanya.

Siapa yang layak menjalani rawatan IVFku

Memandangkan IVFku dilakukan dengan kadar intensiti yang rendah, justeru, lebih sesuai program ini dikhususkan kepada wanita yang dijangka mempunyai jumlah bilangan telur yang memuaskan bagi penghasilan telur yang berkualiti.

Kemungkinan juga bagi wanita yang lebih berumur, mereka terpaksa melalui beberapa kali proses penghasilan telur sebelum disahkan berjaya atau sebaliknya disebabkan telur yang berkualiti rendah. Oleh itu, sebelum menjalani rawatan IVFku, pesakit diperiksa terlebih dulu untuk memastikan dia memenuhi kriteria ditetap­kan. Antaranya berumur kurang 32 tahun, berat badan berlebihan dan mempunyai masalah pada tiub fallopio dan sperma bagi lelaki.

Mengenai kos rawatan IVF yang mencecah RM15,000 hingga RM20,000 (rawatan di hospital swasta) menerusi IVFku, kos jauh lebih rendah dan berpatutan. Ini kerana IVFku ingin me­ngubah hakikat ini dengan menawarkan rawatan IVF pada kos yang berpatutan dengan kadar kejayaan memuaskan.

"Kami memberikan inovasi teknologi terbaik pada harga lebih rendah. Ini menjadikan IVFku pilihan terbaik bagi pasangan yang mempunyai masalah kesuburan dan ingin mula membina keluarga mereka. Kos untuk IVF di bawah program IVFku adalah RM9,900. Mereka yang berminat boleh melayari http://www.ivfku.com," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Februari 2015 @ 6:49 AM