YALI LAU menunjukkan terapi akupuntur untuk meningkatkan kesuburan wanita.
YALI LAU menunjukkan terapi akupuntur untuk meningkatkan kesuburan wanita.
Oleh Siti Zarinah Sahib

Benarkah rawatan alternatif seperti perubatan tradisional Cina (TCM) dan akupuntur dapat meningkatkan kadar kejayaan rawatan ke­suburan wanita berbanding pengambilan ubat-ubatan serta suntikan?

Dalam tradisi masyarakat Melayu, akupuntur belum diterima secara meluas kerana terdapat pelbagai tanggapan berlainan mengenai penggunaan rawatan alternatif bagi menangani masalah kesuburan.

TCM yang berasal dari China adalah salah satu sistem penyembuhan paling tua yang diamalkan selama ribuan tahun dulu membabitkan penggunaan ubat herba Cina, akupunktur, tuina, senaman dan terapi pernafasan (seperti qigong) serta nasihat diet dan gaya hidup.

Ia mengambil pendekatan dan mempercayai tubuh manusia terdiri daripada satu ekosistem yang mempunyai kesinambungan dengan alam persekitaran serta mempunyai keupayaan untuk menyembuhkan diri sendiri secara semula jadi.

Menggunakan gabungan ubatan herba dan rawatan akupunktur, ia membantu dalam meningkatkan kesuburan seseorang, meningkatkan peluang kehamilan sama ada secara semula jadi atau melalui rawatan kesuburan.

Malah sejak akhir-akhir ini, terdapat bukti saintifik yang menunjukkan menjalani akupunktur ketika rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) atau suntikan sperma intra-cytoplasmic (ICSI) akan meningkatkan peluang kehamilan.

Menerusi kajian yang dijalankan oleh penyelidik di School of Medicine, Universiti Maryland, Amerika Syarikat dan Universiti VU Amsterdam, wanita yang diberikan akupuntur semasa proses IVF dapat meningkatkan peluang mereka untuk hamil sebanyak 65 peratus.

Seramai 1,366 wanita yang menjalani IVF berada dalam ujian ini. Wanita daripada beberapa peringkat umur dengan sebab kemandulan berbeza diambil kira. Semua sesi akupunktur berlangsung selama 25 hingga 30 minit dan semua wanita menerima akupuntur serta-merta sebelum atau selepas pemindahan embrio.

Kajian ini mendapati peluang kehamilan meningkat sebanyak 65 peratus bagi peserta yang diberikan rawatan akupunktur, berbanding mereka yang langsung tidak mendapatkannya.

Kajian lain dijalankan oleh penyelidik dari Fakulti Perubatan ABC, Klinik Pembiakan Manusia, Santo Andre, Sao Paulo, Brazil menunjukkan akupunktur dan ‘moxibustion’ meningkatkan kadar kehamilan bagi wanita yang menjalani IVF.

Menurut Pakar Perubatan Tradisional Cina dan Akupuntur, Xi Fertility TCM Centre Yali Lau, terdapat pelbagai cara rawatan TCM boleh meningkatkan kesuburan semula jadi seorang wanita ataupun sebagai rawatan sampingan untuk meningkatkan kejayaan rawatan kesuburan seperti IVF.

Antaranya akupuntur dan pengambilan herba yang objektif utama adalah untuk meningkatkan fungsi ovari, menguatkan sistem imunisasi dan mengurangkan tekanan, meningkatkan kuantiti dan kualiti sperma serta memperbaiki diet dan gaya hidup.

“Akupuntur misalnya dapat menambah baik fungsi kilang ovari agar kualiti telur yang dihasilkan meningkat dari segi kualiti dan kuantiti, meningkatkan sistem imunisasi, mengurangkan tekanan, meningkatkan kualiti dan kuantiti sperma untuk pasangan lelaki, menambah baik aliran darah kepada rahim agar implantasi embrio lebih elok serta mengimbangi sistem endokrin reproduktif yang sensitif,” katanya.

Akupuntur rangsang titik tertentu

Rawatan akupuntur membabitkan penembusan kulit dengan jarum untuk merangsang titik tertentu pada badan. Ia salah satu elemen penting dalam TCM dan diterima secara meluas sebagai suatu pendekatan kesihatan sampingan. Merangsang titik akupuntur tertentu boleh membetulkan ketidakseimbangan aliran qi melalui saluran yang dikenali sebagai meridian.

“Manusia mempunyai 361 titik dalam badan. Setiap titik mempunyai fungsi berbeza dan tusukan jarum bergantung pada masalah dihadapi pesakit. Untuk rawatan kesuburan biasanya dilakukan pada bahagian perut, tangan, kaki dan kepala. Setiap titik menggunakan satu jarum dan dilakukan selama 30 minit,” katanya.

Hipotesis saintifik ke atas kesan akupunktur menyatakan ia dapat meningkatkan aliran darah ke rahim dan memperbaiki keadaan rahim untuk implantasi. Akupuntur dijalankan pada masa stimulasi hiper ovari dikawal sekali gus meningkatkan aliran darah ke ovari dan dapat meningkatkan tindak balas ovari terhadap ubat yang diberikan.

Ling Ying Sia yang juga pakar akupuntur turut menjelaskan, terdapat banyak sebab sesoarang itu mengalami separa mandul. Dalam perubatan barat masalah ini dikesan berpunca daripada ovari, tiub fallopio, rahim dan servik.

“Dalam perubatan Cina, untuk meningkatkan kesuburan keadaan yin, yang, qi dan darah dalam badan terutama fungsi buah pinggang perlu sempurna dan seimbang. Salah satu elemen yang tidak seimbang akan menyebabkan separa mandul.

“Ia dikaitkan dengan masalah telur seperti ketidakupayaan telur disenyawakan, telur disenyawakan tidak mendapat implan dan membesar. Selain itu rahim yang terlalu sejuk juga menyebabkan separa mandul berlaku,” katanya.

Akupuntur yang dijalankan sebelum rawatan IVF dan ICSI membantu menyediakan badan untuk lebih bersedia. Ini termasuk strategi untuk meningkatkan aliran darah ke ovari dan rahim, meningkatkan fungsi ovari dan meningkatkan keadaan lapisan rahim kepada kadar yang sesuai untuk implantasi.

Ketika proses IVF dan ICSI pula, akupuntur boleh digunakan untuk meningkatkan kualiti dan kuantiti telur.

“Selepas pengeluaran telur dan sebelum pemindahan embrio, akupuntur membantu untuk memperbaiki keadaan rahim manakala selepas pemindahan embrio, akupunktur dan herba dapat meningkatkan implantasi,” katanya.

Akupuntur bukan saja untuk wanita malah lelaki digalakkan melakukannya bagi meningkatkan jumlah sperma. Ia tidak memberikan kesan negatif kepada pasangan malah membantu memperbaiki tahap kesuburan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 January 2016 @ 9:52 AM