Kuala Lumpur: Faktor utama yang diambil kira dalam rawatan persenyawaan in vitro (IVF) kepada pasangan yang sukar hamil adalah usia isteri berikutan ia mempengaruhi kualiti telur dan sperma yang dihasilkan.

Profesor dan Konsultan Embriologis di Jabatan Obstetrik dan Ginekologi Universiti Malaya (UM) Dr Jaffar Ali M Abdullah berkata, pasangan suami isteri bersama-sama dikaitkan dan terbabit dalam isu separa mandul atau kemandulan dan kegagalan rawatan tidak boleh disalahkan kepada satu pihak saja.

“Setiap pasangan yang menjalani IVF dinasihatkan supaya tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi kerana hanya 22 hingga 65 peratus saja seseorang itu berjaya hamil melalui kaedah berkenaan.

“Ini bergantung kepada beberapa faktor termasuk umur pasangan, patologi pasangan, kaedah dan ubat yang digunakan.

“Peringkat perkembangan embrio pada masa pemindahan ke rahim juga penting menggunakan teknik canggih dan peruntukan hospital serta undang-undang negara yang mengawal bilangan embrio yang boleh dipindahkan,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, penting bagi setiap pakar yang mengendalikan rawatan IVF menyatakan bahawa antara 35 hingga 78 peratus daripada wanita yang melalui prosedur IVF tidak akan hamil selepas rawatan.

“Tahap pengetahuan semasa tidak dapat memastikan kejayaan seratus peratus. Pasangan suami isteri boleh menjalani rawatan beberapa kali jika mereka mampu dari segi kos rawatan.

“Ilmu IVF tiada formula yang sama untuk semua pesakit. Pasangan perlu akur dengan jadual rawatan yang disusun memandangkan rawatan ini berjenis dan tidak semestinya sama dengan rakan atau saudara yang pernah menjalaninya,” katanya.

Selain itu katanya, skil regu IVF juga berperanan dalam membuat formulasi protokol serta ubat yang sesuai bagi menghasilkan telur atau embrio yang berkualiti dalam bilangan yang dikehendaki, menyediakan keadaan rahim supaya sesuai untuk implantasi embrio dan juga pembesarannya.

Katanya, di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sudah lama menyediakan rawatan IVF kepada mereka yang memerlukan pada kos yang sudah disubsidikan sekali gus lebih murah berbanding harga di hospital swasta.

“Bagi kakitangan awam, kos rawatan IVF di sini RM5,800 sementara bagi swasta adalah RM9,900.

“Namun, harga ini bergantung kepada pertambahan kos yang meliputi prosedur dan penggunaan ubat tertentu,” katanya.

Dr Jaffar turut menasihatkan wanita yang gagal daripada rawatan IVF supaya redha dengan ketentuan Allah SWT dan menerima hakikat gagal hamil dengan terbuka bagi kehidupan yang lebih baik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Julai 2016 @ 5:27 AM