GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Reuters

Geneva: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Khamis mendesak China berkongsi maklumat mengenai asal-usul Covid-19.

Sejak jangkitan wabak itu bermula kira-kira tiga tahun lalu, semua hipotesis mereka masih tidak didedahkan.

Ketua Pengarahnya Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, tiada jawapan mengenai perkara itu kerana keengganan China mendedahkan data penuh mengenai wabak terbabit.

Menurutnya, WHO berpendirian data itu perlu dikongsi dan meminta China untuk memberikan kerjasama.

"Jika mereka berbuat demikian, maka kita akan tahu apa yang berlaku atau bagaimana ia bermula," katanya.

Virus itu mula dikenal pasti di bandar Wuhan di China pada Disember 2019, dengan ramai mengesyaki bermula dari penjualan haiwan liar di sebuah pasar sebelum merebak ke seluruh dunia dan mengorbankan hampir 7 juta orang setakat ini.

Penyelidik antarabangsa berkata, berdasarkan data ringkas dimuat naik saintis dari China menunjukkan DNA anjing rakun mengandungi virus itu melebihi manusia.

Ketua Teknikal Covid-19 WHO, Dr Maria Van Kerkhove berkata, China menunjukkan beberapa data mengenai asal-usul tetapi tiada jawapan.

Beliau berkata, WHO kini bekerjasama dengan saintis untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kes terawal dari 2019.

Tambahnya, WHO masih tidak tahu sama ada beberapa penyelidikan yang diperlukan sudah dijalankan di China.

WHO juga meminta Amerika Syarikat (AS) untuk memberikan data asal yang menyokong kajian terbaru Jabatan Tenaga AS yang berpendapat kebocoran makmal di China mungkin punca pandemik Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 April 2023 @ 12:15 PM