DOKTOR di Habsyah memakai peralatan perlindungan diri (PPE) ketika bertugas di unit rawatan rapi di sebuah hospital sementara yang menempatkan pesakit Covid-19 di negara itu. FOTO AFP
DOKTOR di Habsyah memakai peralatan perlindungan diri (PPE) ketika bertugas di unit rawatan rapi di sebuah hospital sementara yang menempatkan pesakit Covid-19 di negara itu. FOTO AFP
AFP

Geneva: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menegaskan kemungkinan tiada cara yang dapat membunuh Covid-19.

Ia meskipun kebanyakan negara kini berlumba-lumba untuk menghasilkan vaksin bagi virus berkenaan.

Sehubungan itu, badan dunia itu menggesa semua pihak mengamalkan langkah pencegahan asas termasuk ujian saringan, pengesanan kontak, penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka.

Pengarah Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, pihaknya berharap vaksin yang dibangunkan kini berkesan untuk membunuh virus berkenaan.

"Bagaimanapun, setakat ini, tiada 'peluru perak' (penyelesaian) dan mungkin tidak akan ada langsung.

"Pada masa ini, langkah kesihatan awam yang asas dan pencegahan dapat mengekang penularan virus itu. Lakukan semuanya," katanya menerusi sidang media secara maya.

Setakat ini, Covid-19 sudah menjangkiti 18.1 juta penduduk dunia dan menyebabkan hampir 690,000 kematian.

WHO memberi tekanan kepada China sejak Mei lalu untuk membenarkan pakarnya ke negara itu bagi menyiasat sumber jangkitan Covid-19.

Badan dunia itu kemudian menghantar ahli epidemiologi dan pakar kesihatan haiwan ke negara berkenaan pada 10 Julai lalu.

"Pasukan pakar berkenaan sudah melengkapkan misi mereka bagi merintis kepada usaha bersama untuk mengesan asal-usul virus berkenaan," kata Tedros.

Susulan itu, beliau berkata, WHO dan pakar di China juga sudah merangka draf rujukan untuk kajian dan program lanjutan untuk pasukan antarabangsa.

Katanya, inisiatif bersama itu akan diketuai oleh WHO dan membabitkan pakar dari China dan seluruh dunia.

"Kajian epidemiologikal akan bermula di Wuhan untuk mengenal pasti sumber jangkitan pada kes awal Covid-19.

"Hasil kajian akan digunakan untuk diguna pakai untuk merangka kajian jangka panjang berhubung perkara ini," katanya.

Saintis sebelum ini menyatakan bahawa Covid-19 menjangkiti manusia daripada haiwan.

Ia berkemungkinan besar daripada hidupan liar yang dijual di pasar di Wuhan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2020 @ 10:57 AM