KAKITANGAN memakai pakaian perlindungan diri dilihat memasuki pintu masuk hotel di Zhangjiakou yang menjadi antara lokasi acara bagi Olimpik Musim Sejuk 2022. FOTO EPA
KAKITANGAN memakai pakaian perlindungan diri dilihat memasuki pintu masuk hotel di Zhangjiakou yang menjadi antara lokasi acara bagi Olimpik Musim Sejuk 2022. FOTO EPA
AFP

Geneva: Sekumpulan 20 saintis menuntut China supaya menghentikan tindakan menyekat siasatan bebas untuk mengesan asal usul Covid-19.

Gesaan itu disuarakan saintis dari Eropah, Amerika Syarikat, Australia, New Zealand, India dan Jepun menerusi satu surat terbuka yang mengkritik keras China kerana menghalang usaha memahami bagaimana wabak itu bermula.

Surat itu memberi amaran kegagalan mendedahkan sejarah sebenar virus yang menyebabkan Covid-19 itu akan meletakkan dunia kepada risiko yang lebih besar dilanda wabak pada masa hadapan.

"Usaha berterusan kerajaan China menyekat sebarang penyiasatan bermakna tentang asal usul wabak... menjadi penghinaan kepada komuniti saintifik antarabangsa dan kepada orang ramai seluruh dunia," kata surat itu.

Saintis menggesa negara dan penduduk di seluruh dunia mengambil peluang sempena Sukan Olimpik Musim Sejuk yang sedang berlangsung ini untuk menyerlahkan halangan China dan menuntut negara itu mengubah pendirian mereka.

Saintis terbabit menuduh China memusnahkan sampel biologi, menyembunyikan rekod dan memenjarakan wartawan warga China yang berani mendedahkan isu itu.

Mereka juga mengkritik arahan yang menghalang saintis China memberitahu atau menulis apa-apa mengenai asal usul wabak tanpa kelulusan kerajaan terlebih dahulu.

Saintis terbabit turut menggesa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mewujudkan peruntukan pemberi maklumat yang selamat untuk memudahkan saintis, pakar di China dan di negara lain berkongsi maklumat mengenai asal usul wabak itu.

Pada Januari 2021, pasukan pakar antarabangsa WHO ke Wuhan untuk melihat asal usul virus itu dengan kerjasama rakan sejawatan mereka di China sebelum menghasilkan laporan bersama yang menyimpulkan hipotesis yang paling mungkin ialah virus itu tersebar dari kelawar kepada manusia melalui haiwan perantaraan.

Bagaimanapun, penyiasatan itu menghadapi kritikan keras kerana tidak mempunyai ketelusan dan akses kerana tidak menilai secara serius teori kebocoran makmal.

Ia menyebabkan Agensi Kesihatan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) membangunkan pasukan saintis baharu untuk menjalankan semula siasatan yang terhenti dan menyiasat patogen lain yang berpotensi mencetuskan wabak masa depan.

Namun, usaha itu tidak mendapat kerjasama penuh China apabila tidak memberikan akses kepada data mentah dari makmal Wuhan yang berpotensi membantu mengesahkan perkara itu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Februari 2022 @ 12:05 PM