GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Agensi

Washington: Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden mendakwa China masih tidak memberikan 'maklumat kritikal' mengenai asal-usul Covid-19.

Pasukan perisikan AS percaya wabak berkenaan bukan senjata biologi namun curiga apakah virus itu 'terlepas' dari makmal.

Bagaimanapun, pihaknya tidak percaya pegawai China terlebih dahulu mengetahui mengenai wabak itu yang kini meragut lebih 4.5 juta nyawa, lapor AFP.

"Maklumat penting mengenai asal-usul wabak ini ada di China namun sejak awal pegawai pemerintah di China berusaha menghalang penyiasat antarabangsa dan anggota masyarakat kesihatan awam global mengaksesnya.

"Sehingga hari ini, China terus menolak permintaan untuk telus dan menyekat maklumat walaupun ketika jumlah kes terus meningkat," kata Biden dalam satu kenyataan.

Perisikan AS menolak bahawa koronavirus dibangunkan sebagai senjata dan kebanyakan agensi tidak yakin ia dicipta secara genetik.

Tetapi komuniti tetap berbeza pendapat mengenai asal-usul patogen dengan empat agensi dan Majlis Perisikan Kebangsaan lebih cenderung kepada pendapat pendedahan semula jadi terhadap haiwan sebagai satu kemungkinan manakala salah satu agensi cenderung memilih teori kebocoran makmal.

Biden berkata, AS terus bekerjasama dengan sekutu untuk memberi tekanan kepada Beijing supaya berkongsi lebih banyak maklumat dan bekerjasama dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

"Kita mesti ada penjelasan penuh dan telus mengenai tragedi global ini. Tidak ada yang kurang," katanya.

Pejabat pengarah perisikan negara berkata, pihaknya mengkaji sama ada mendedahkan sebahagian laporan dalam masa terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Ogos 2021 @ 7:01 AM