FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Agensi

Arizona: Saintis Amerika Syarikat (AS) mendakwa kes pertama Covid-19 sebenarnya membabitkan seorang penjual di pasar menjual haiwan hidup di Wuhan, China.

Ia sekali gus menolak laporan terdahulu pesakit pertama virus itu adalah akauntan yang tiada kaitan dengan pasar berkenaan.

Memetik portal The Guardian, Ketua Ekologi dan Evolusi Biologi, Universiti Arizona, Michael Worobey mendedahkan laporan itu selepas meneliti akaun awam berkaitan kes terawal didedahkan di China.

Analisis itu menjawab persoalan sama ada laporan awal kemungkinan berkaitan pasar Wuhan dan dakwaan pesakit pertama Covid-19 adalah individu berkunjung ke pasar itu.

Tiada mamalia hidup dikumpulkan dari pasaran haiwan hidup Wuhan disaring untuk virus berkaitan Sars-CoV-2 dan pasar Wuhan ditutup dan melalui proses nyahkuman.

Untuk menyemak semula persoalan itu, Worobey menganalisis kes dilaporkan dua hospital.

"Di bandar dengan 11 juta orang, separuh kes awal dikaitkan dengan tempat bersaiz sebesar padang bola sepak.

"Ia sukar menjelaskan corak itu jika wabak tidak bermula dari pasar," kata Worobey kepada New York Times.

Laporan terbaharu itu sekali gus menafikan virus itu tersebar daripada makmal virologi Wuhan.

Ia menimbulkan persoalan bagaimana kesilapan jelas itu diabaikan dalam siasatan bersama antara Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan China.

WHO sebelum ini dalam laporannya menyatakan kes Covid-19 pertama diketahui membabitkan seorang akauntan.

Laporan Worobey itu akan menghidupkan semula perdebatan mengenai asal-usul wabak itu yang masih belum dapat diselesaikan dan terus mencetuskan ketegangan antara China dan AS.

Worobey membuat kesimpulan, kes pertama yang diketahui adalah dari seorang penjual makanan laut wanita yang jatuh sakit pada 11 Disember.

Namun dalam temu bual dengan agensi berita China, Chen akauntan yang sebelum ini disahkan WHO sebagai kes pertama diketahui memaklumkan dia mendapatkan rawatan di klinik akibat sakit gigi pada 8 Disember dan hanya mengalami gejala Covid-19 pada 16 Disember.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 November 2021 @ 7:10 AM