KONVOI tentera Israel. FOTO AFP
KONVOI tentera Israel. FOTO AFP
AFP

Baitulmaqdis: Perdana Menteri Israel dan ketua tenteranya pada Selasa menegaskan, perang memerangi Hamas adalah "kempen panjang", sekali gus menolak laporan bahawa ia memperlahankan operasi ketenteraan di wilayah itu.

Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berkata, negaranya tidak akan menyerah kepada "angin kekalahan', manakala ketua tentera, Herzi Halevi pula berikrar pemusnahan infrastruktur Hamas akan mengambil lebih masa.

"Ini adalah kempen yang panjang, dengan keazaman dan ketabahan kami mencapai misi kami dan melemahkan pihak lain," kata Halevi kepada tentera selepas melawat operasi Israel di selatan Gaza.

Halevi berkata, lebih 900 anggota Hamas terbunuh dalam pertempuran di seluruh wilayah Rafah di selatan Gaza.

Kenyataan itu dibuat Halevi selepas The New York Times memetik pegawai keselamatan Israel sebagai berkata, jeneral tertinggi melihat gencatan senjata sebagai cara terbaik untuk memastikan pembebasan tebusan yang masih ada, walaupun itu bermakna tidak mencapai semua matlamat perang.

Netanyahu berdepan tekanan domestik yang besar untuk mengembalikan tebusan, manakala sekutu antarabangsa termasuk Amerika Syarikat mendesak gencatan senjata di Gaza kerana jumlah korban orang awam yang tinggi.

"Perang akan berakhir sebaik sahaja Israel mencapai semua objektifnya termasuk pemusnahan Hamas dan pembebasan semua tebusan kami

"Tentera mempunyai semua cara untuk mencapai sasaran di Gaza.

"Kami tidak akan menyerah kepada 'angin kekalahan', tidak di The New York Times mahupun di mana-mana tempat lain," katanya.

Selepas serangan Hamas 7 Oktober, kerajaan sayap kanan Netanyahu berikrar untuk memusnahkan keupayaan tentera dan pentadbiran kumpulan Hamas dan mengembalikan semua tebusan yang ditahan.

Satu komen Netanyahu, baru-baru ini, menyatakan bahawa perang dalam fasa sengitnya akan berakhir di Rafah, meningkatkan spekulasi mengenai perubahan dalam taktik.

Namun, pemimpin Israel itu menegaskan kembali keazaman kerajaannya untuk mencapai matlamat perangnya.

Tentera Israel juga menyambung semula beberapa operasi di utara Gaza dan zon lain di wilayah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2024 @ 10:44 AM