PENDUDUK Palestin yang berlindung di Rafah memasak hidangan Aidilfitri, di luar khemah mereka. FOTO Reuters
PENDUDUK Palestin yang berlindung di Rafah memasak hidangan Aidilfitri, di luar khemah mereka. FOTO Reuters
AFP

Baitulmaqdis: Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu mengesahkan mereka sudah mempunyai tarikh untuk melakukan serangan darat di Rafah, yang menurut Israel adalah salah satu kubu terakhir Hamas di Gaza.

Kira-kira 1.5 juta penduduk Gaza berlindung di bandar itu yang setakat ini tidak mengalami serangan darat berskala besar Israel.

Netanyahu tidak menyatakan bila pencerobohan akan berlaku tetapi mengulangi bahawa kemenangan ke atas pejuang Hamas "memerlukan kemasukan ke Rafah dan penghapusan batalion 'pengganas' di sana".

"Ia akan berlaku, ada tarikhnya," katanya dalam satu kenyataan video.

Beliau bercakap ketika perbincangan di Kaherah mengenai gencatan senjata Gaza dan perjanjian tebusan.

Berikutan komen Netanyahu, Amerika Syarikat (AS) berkata, ia masih menentang serangan besar Israel ke atas Rafah.

Dengan kira-kira 1.5 juta rakyat Palestin berlindung di Rafah, "kami sudah menjelaskan kepada Israel bahawa kami berpendapat pencerobohan tentera berskala penuh ke atas Rafah akan memberi kesan yang sangat berbahaya kepada orang awam, dan ia akhirnya akan menjejaskan keselamatan Israel", kata jurucakap Jabatan Negara AS, Matthew Matthew Miller kepada pemberita.

Netanyahu berada di bawah tekanan di negara sendiri daripada rakan pakatan sayap kanannya yang marah dengan cakap-cakap mengenai gencatan senjata serta Israel menarik tenteranya keluar dari selatan Gaza pada Ahad lalu.

"Hari ini saya menerima laporan terperinci mengenai rundingan di Kaherah.

"Kami bekerja sepanjang masa untuk mencapai matlamat kami, terutamanya pembebasan semua tebusan kami dan mencapai kemenangan ke atas Hamas," katanya.

Rumah Putih berkata, perunding di ibu negara Mesir mengemukakan cadangan kepada Hamas untuk gencatan senjata di Semenanjung Gaza dan perjanjian tebusan.

"Kini terpulang kepada Hamas untuk menyelesaikannya," katanya, sambil menyifatkan rundingan itu sebagai serius.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2024 @ 10:25 AM