BENJAMIN Netanyahu. FOTO AFP
BENJAMIN Netanyahu. FOTO AFP
AFP

Baitulmaqdis: Dua menteri sayap kanan Israel mengancam untuk keluar daripada kerajaan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, jika beliau meneruskan perjanjian pembebasan tebusan yang digariskan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden.

Biden pada Jumaat berkata, Israel menawarkan pelan cadangan ke arah gencatan senjata penuh termasuk pembebasan tebusan yang ditahan oleh Hamas di Semenanjung Gaza.

Namun, rakan kongsi gabungan sayap kanan Netanyahu, Menteri Keselamatan Negara, Itamar Ben Gvir dan Menteri Kewangan, Bezalel Smotrich berkata, mereka akan berhenti daripada kerajaannya, jika perjanjian itu diteruskan.

Ben Gvir berkata, pihaknya akan membubarkan kerajaan, jika perjanjian itu berjaya, dan menyelar cadangan itu sebagai kemenangan untuk keganasan dan risiko keselamatan kepada Israel.

"Menyetujui perjanjian sedemikian bukanlah kemenangan total tetapi kekalahan total," katanya.

Smotrich berkata, beliau tidak akan menjadi sebahagian daripada kerajaan yang akan bersetuju dengan cadangan berkenaan.

"Kami menuntut penerusan perang sehingga Hamas dimusnahkan dan semua tebusan kembali," kata Smotrich di X.

Terdahulu pada Sabtu, Netanyahu menegaskan bahawa pemusnahan Hamas adalah sebahagian daripada rancangan Israel yang ditetapkan oleh Biden.

Pemimpin pembangkang Israel, Yair Lapid berikrar untuk menawarkan Netanyahu dengan 'jaring keselamatan' untuk perjanjian tebusan, jika Ben Gvir dan Smotrich meninggalkan kerajaan.

Tanpa parti Ben Gvir dan Smotrich, gabungan Netanyahu boleh kehilangan majoriti di Parlimen.

Sementara itu, beribu-ribu rakyat Israel berhimpun di Tel Aviv untuk menuntut penerimaan gencatan senjata dan perjanjian pembebasan tebusan yang digariskan oleh Biden, dengan ramai yang bimbang perdana menteri akan menafikan cadangan itu.

Perang Gaza dicetuskan oleh serangan Hamas pada 7 Oktober yang tidak pernah berlaku sebelum ini ke atas Israel selatan, mengakibatkan kematian 1,189 orang, kebanyakannya orang awam, menurut pengiraan AFP berdasarkan angka rasmi Israel.

Hamas turut mengambil 252 tebusan, 121 daripadanya kekal di Gaza, termasuk 37 yang dikatakan tentera, sudah meninggal dunia.

Sekurang-kurangnya 36,379 rakyat Palestin, kebanyakannya orang awam, terbunuh di Gaza dalam pengeboman dan serangan darat Israel sejak 7 Oktober, menurut kementerian kesihatan di wilayah kendalian Hamas itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Jun 2024 @ 11:41 AM