FOTO pada 13 Februari menunjukkan jet Israel dilihat di kawasan sempadan Lubnan. FOTO AFP
FOTO pada 13 Februari menunjukkan jet Israel dilihat di kawasan sempadan Lubnan. FOTO AFP
AFP

Beirut: Sembilan individu dengan tujuh daripadanya orang awam terbunuh pada Rabu, dalam serangan Israel di selatan Lubnan, lapor sumber rasmi, manakala tentera Israel mendakwa seorang anggotanya maut dalam tembakan roket rentas sempadan.

Walaupun tiada yang bertanggungjawab terhadap serangan roket itu, insiden berbalas tembakan - dan angka kematian orang awam dalam sehari yang terburuk di Lubnan sejak permusuhan rentas sempadan bermula pada Oktober lalu itu - menimbulkan kebimbangan konflik yang lebih meluas antara Israel dan kumpulan Hizbullah.

Pada petang Rabu, empat orang awam daripada keluarga sama termasuk dua wanita terbunuh dalam serangan Israel ke atas sebuah bangunan kediaman di bandar Nabatiyeh, kata sumber keselamatan Lubnan kepada AFP.

"Penduduk pangsapuri yang disasarkan tidak mempunyai kaitan dengan Hizbullah," tambah sumber itu, meminta namanya dirahsiakan kerana mereka tidak diberi kuasa untuk bercakap dengan media.

Terdahulu, Agensi Berita Nasional (NNA) milik kerajaan Lubnan berkata, pesawat pejuang Israel menyasarkan sebuah rumah di Sawwaneh, selatan Lubnan, membunuh tiga ahli keluarga sama, mengenal pasti mereka sebagai seorang wanita Syria dan anaknya yang berusia dua tahun dan anak tiri berumur 13 tahun.

Menurut agensi itu, satu lagi serangan Israel yang menyasarkan kampung Adshit membunuh seorang, yang diumumkan Hizbullah sebagai pejuangnya, mencederakan 10 yang lain, memusnahkan sebuah bangunan dan menyebabkan kerosakan besar di kawasan berhampiran.

Tentera Israel dalam satu kenyataan memaklumkan Sarjan Omer Sarah Benjo, 20, terbunuh akibat pelancaran roket dari wilayah Lubnan, ke pangkalan di utara Israel.

Jet pejuang menyerang beberapa siri sasaran pengganas Hizbullah di beberapa kawasan dekat selatan Lubnan, termasuk Adshit dan Sawwaneh.

Tentera Israel dan kumpulan Lubnan yang disokong Iran terbabit dalam tembakan rentas sempadan setiap hari sejak perang Israel-Hamas bermula pada Oktober.

Sementara Hizbullah memaklumkan pejuang kedua terbunuh di tempat lain di selatan Lubnan pada Rabu, namun mendakwa tiada serangan ke atas tentera atau kedudukan Israel.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Februari 2024 @ 9:34 AM