ACRE. FOTO fail AFP
ACRE. FOTO fail AFP
AFP

Beirut: Kumpulan Hizbullah Lubnan, semalam, melancarkan serangan dron ke atas pangkalan tentera Israel di utara bandar Acre, sebagai tindak balas susulan pembunuhan salah seorang pejuangnya.

Hizbullah dalam satu kenyataan berkata, pasukannya melancarkan serangan udara dengan menggunakan dron umpan dan bahan letupan yang menyasarkan dua pangkalan Israel di tengah-tengah antara Acre dan Nahariyya.

Serangan itu dapat dilihat menerusi gambar satelit, dengan lokasi serangan dilambangkan dengan kilat dengan bulatan merah di sekelilingnya.

Sementara itu, tentera Israel berkata, mereka tidak mengetahui mana-mana kawasan yang diserang oleh Hizbullah, tetapi sebelum ini berkata, pihaknya memintas dua sasaran udara di luar pantai utara Israel.

Kemudian pada Selasa, agensi berita rasmi Lubnan, NNA berkata, sekurang-kurangnya dua orang terbunuh dan enam lagi cedera selepas serangan udara Israel dilancarkan di kawasan perumahan di bandar Hanin di selatan Lubnan.

"Pesawat perang Israel menyerang sebuah rumah dua tingkat dengan dua peluru berpandu udara ke permukaan, memusnahkan sepenuhnya bangunan yang didiami oleh sebuah keluarga yang tidak meninggalkan bandar itu sejak serangan Israel bermula," kata NNA.

Hizbullah berkata, ia melancarkan berpuluh-puluh roket di utara Israel, lewat Selasa, sebagai tindak balas terhadap pembunuhan dua orang awam.

"Hizbullah melancarkan berpuluh-puluh roket Katyusha ke utara Israel sebagai sebahagian daripada tindak balas terhadap serangan musuh Israel ke atas rumah awam, khususnya pembunuhan beramai-ramai yang mengerikan di Hanin dan pembunuhan serta mencederakan orang awam," kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.

Terdahulu pada Selasa, tentera Israel berkata, serangan udaranya membunuh dua pejuang Hizbullah di selatan Lubnan.

Hizbullah kemudiannya mengesahkan kematian salah seorang pejuangnya, Hussein Azkoul, tetapi tidak memberikan butiran lanjut.

Serangan berasingan semalaman oleh Israel membunuh Muhammad Attiya, seorang pejuang unit elit Hizbullah, Pasukan Radwan, kata tentera.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2024 @ 1:16 PM