USAHA memintas roket rentas sempadan yang dilancarkan dari Lubnan. FOTO Reuters
USAHA memintas roket rentas sempadan yang dilancarkan dari Lubnan. FOTO Reuters
AFP

Beirut: Hizbullah yang disokong Iran Lubnan melepaskan roket dan dron ke arah tentera Israel pada Khamis, selepas serangan Israel membunuh salah seorang komander kanannya.

Serangan besar itu berlaku selepas berbulan-bulan tembakan rentas sempadan hampir setiap hari antara kumpulan itu dan tentera Israel, sejak serangan Hamas pada 7 Oktober tahun lalu ke atas Israel mencetuskan perang Gaza.

Kumpulan itu dalam satu kenyataan berkata, ia melancarkan serangan dengan roket dan dron, menyasarkan enam berek dan tapak tentera, sambil secara serentak menerbangkan skuadron dron sarat bahan letupan ke tiga pangkalan Israel yang lain.

Satu daripada sasaran itu adalah pangkalan Israel yang dikatakan Hizbullah menempatkan ibu pejabat perisikan.

Hizbullah, yang mengumumkan lebih banyak serangan pada sebelah petang berkata, serangan itu sebahagian daripada tindak balas terhadap pembunuhan komandernya, Taleb Abdallah, Selasa lalu.

Tentera Israel berkata, pada sebelah petang, kira-kira 40 peluru dilancarkan ke arah kawasan Galilee dan Bukit Golan, sambil menambah sebahagian besar daripadanya dipintas, manakala beberapa daripadanya menyebabkan kebakaran.

Dalam satu serangan berhampiran perkampungan sempadan Manara, seorang askar Pasukan Pertahanan Israel (IDF) cedera, dan seorang askar simpanan, cedera ringan.

Kerajaan Israel berkata, ia akan bertindak balas dengan tegas terhadap semua serangan Hizbullah.

"Israel akan bertindak balas dengan kekerasan terhadap semua pencerobohan oleh Hizbullah," kata jurucakap kerajaan, David Mencer, semasa taklimat akhbar dan berikrar untuk memulihkan keselamatan di sempadan utara.

Kemudian, Agensi Berita Nasional Lubnan melaporkan bahawa pesawat perang Israel melancarkan serbuan menyasarkan sebuah rumah di bandar Janata, membunuh seorang awam dan mencederakan tujuh yang lain.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, serangan rentas sempadan meningkat, dengan Hizbullah meningkatkan penggunaan dron untuk menyerang kedudukan tentera Israel dan Israel membalas dengan serangan yang disasarkan terhadap Hizbullah.

Rabu lalu, pegawai tertinggi Hizbullah Hashem Safieddine berikrar bahawa kumpulan itu akan meningkatkan intensiti, kekuatan, kuantiti dan kualiti serangan semasa bercakap di pengebumian Abdallah.

Tentera Israel mengesahkan ia melakukan serangan yang 'menghapuskan' Abdallah pada Selasa, menyifatkan beliau sebagai seorang komander paling kanan Hizbullah di selatan Lubnan.

Sumber tentera Lubnan berkata, beliau adalah komander Hizbullah yang paling penting terbunuh sejak permulaan perang.

Keganasan rentas sempadan membunuh sekurang-kurangnya 468 orang di Lubnan, kebanyakannya pejuang tetapi juga termasuk 89 orang awam.

Pihak berkuasa Israel berkata, sekurang-kurangnya 15 askar Israel dan 11 orang awam terbunuh.

Menangani situasi di sepanjang sempadan yang mana Perancis sudah melakukan usaha diplomatik untuk membendungnya sejak Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2024 @ 9:45 AM