REAKSI wanita Palestin selepas serangan Israel di satu rumah di Deir Al-Balah, tengah Gaza, pada Jumaat. FOTO Reuters
REAKSI wanita Palestin selepas serangan Israel di satu rumah di Deir Al-Balah, tengah Gaza, pada Jumaat. FOTO Reuters
AFP

Gaza: Tentera Israel menyerang Gaza pada Jumaat apabila usaha gencatan senjata gagal mencapai kemajuan.

Tindakan itu sekali gus meningkatkan ketegangan di sempadan utara Israel dengan Lubnan.

Saksi melaporkan serangan berlaku di bandar selatan Rafah dan kawasan tengah Semenanjung Gaza.

Tentera Israel berkata, mereka meneruskan operasi di tengah Gaza, di mana pesawat perang menyerang sel Hamas di kawasan Zeitun.

Saksi di Rafah, di sempadan selatan Gaza dengan Mesir, melaporkan tembakan helikopter, manakala sayap bersenjata Hamas berkata, kumpulannya melepaskan tembakan mortar ke arah tentera Israel berhampiran kejiranan Tal al-Sultan.

Kebimbangan terhadap konflik Timur Tengah yang lebih luas kian melonjak, dengan pejuang Hizbullah yang berpangkalan di Lubnan, yang disokong oleh Iran dan bersekutu dengan Hamas, melancarkan 'gelombang' roket, peluru berpandu dan dron terhadap sasaran tentera Israel.

Hizbullah berkata, serangan sengit sejak Rabu lalu adalah tindakan balas terhadap pembunuhan Israel terhadap salah seorang komandernya.

Siren dibunyikan di utara Israel, di mana polis berkata, serangan dilaporkan di kawasan Kiryat Shmona, tanpa laporan kematian.

Tentera Israel berkata, kira-kira 35 peluru dikenal pasti melintasi Lubnan yang mana sebilangan daripadanya berjaya dipintas manakala beberapa menyebabkan kebakaran.

Tentera Israel bertindak balas dengan tembakan dan mengumumkan serangan udara ke atas infrastruktur Hizbullah.

Dua wanita terbunuh dalam serangan ke atas Jannata di selatan Lubnan. Ia adalah kematian terbaru dalam pertempuran antara Hizbullah dan tentera Israel sejak bermulanya perang Gaza.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2024 @ 10:46 AM