FOTO pada 2 November menunjukkan serangan Israel di Gaza. FOTO AFP
FOTO pada 2 November menunjukkan serangan Israel di Gaza. FOTO AFP
AFP

Gaza: Tentera Israel pada Khamis berkata, pihaknya sudah mengepung Bandar Gaza.

Briged Ezzedine Al-Qassam, sayap tentera Hamas, pula memberi amaran kepada Israel bahawa askar pencerobohnya akan pulang "dengan beg hitam."

Jurucakap Abu Obeida berkata: "Gaza akan menjadi kutukan sejarah bagi Israel."

Amaran Hamas itu dibuat selepas jurucakap tentera Israel Daniel Hagari berkata, tentera sudah mengepung Bandar Gaza sepenuhnya selepas beberapa hari memperluaskan operasi darat.

"Tentera Israel menyelesaikan pengepungan Bandar Gaza, pusat pertubuhan Hamas," kata Hagari kepada wartawan.

"Konsep gencatan senjata pada masa ini tidak dibincangkan sama sekali," tambahnya.

Di tengah-tengah kebimbangan yang semakin meningkat mengenai krisis itu merebak, pejuang Israel dan Hizbullah di Lubnan berbalas tembakan selepas roket menghempas sebuah bandar di utara Israel.

Ratusan lagi warga asing dan mereka yang memiliki dua kewarganegaraan berjaya melarikan diri dari Gaza yang dilanda perang ke Mesir, pada Khamis, ketika tentera Israel mengebom dan berperang di darat di wilayah terkepung itu di mana beribu-ribu orang sudah terkorban.

Sumber di lintasan Rafah memberitahu AFP, ia akan dibuka semula pada hari Jumaat, dengan lebih ramai warga asing dan Palestin yang cedera dijangka memasuki Mesir dari Semenanjung Gaza.

Mesir berkata, ia akhirnya merancang untuk membantu memindahkan 7,000 warga asing melalui Rafah.

Kementerian kesihatan di Kaherah berkata, 21 rakyat Palestin yang cedera dan "344 warga asing, termasuk 72 kanak-kanak" melalui lintasan sempadan Rafah hanya pada hari kedua ia dibuka untuk orang ramai meninggalkan Gaza dalam hampir empat minggu pertempuran.

Senarai mereka yang diluluskan untuk melintasi pintu sempadan itu menunjukkan ratusan warga Amerika Syarikat (AS) dan 50 warga Belgium bersama-sama dengan sejumlah lebih kecil individu dari pelbagai negara Eropah, Arab, Asia dan Afrika.

"Tiada makanan, tiada air, tiada gas, tiada tempat untuk berlindung," kata pemegang pasport AS, Salma Shaath, 14, ketika dia bersiap untuk menyeberang lintasan Rafah untuk memasuki Mesir.

"Orang ramai pergi ke hospital untuk tidur, ramai yang mati syahid, tiada internet, tiada komunikasi dan elektrik. Rumah kami dibom ... jadi kami datang ke sini ke Rafah."

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 November 2023 @ 9:21 AM