(Kanan) Bhavesh Bhinde, pengarah Ego Media Pvt Ltd, agensi pengiklanan yang memiliki papan iklan yang runtuh di Ghatkopar Mumbai. FOTO Agensi
(Kanan) Bhavesh Bhinde, pengarah Ego Media Pvt Ltd, agensi pengiklanan yang memiliki papan iklan yang runtuh di Ghatkopar Mumbai. FOTO Agensi
AFP

Mumbai: Polis India menahan pemilik papan iklan besar yang runtuh di stesen minyak dan membunuh 16 orang di Mumbai.

Sebanyak 75 orang lagi diselamatkan dari bawah serpihan runtuhan pada Isnin apabila papan iklan gergasi itu jatuh semasa hujan lebat dan ribut melanda bandar itu.

Polis membuka kes siasatan pembunuhan terhadap pemilik papan iklan itu, Bhavesh Bhinde yang melarikan diri dari Mumbai selepas kejadian runtuhan itu.

Dia ditangkap lewat Khamis di bandar pelancongan Udaipur, sekitar 800 kilometer ke utara, kata Pesuruhjaya Polis Lakhmi Gautam kepada The Indian Express.

"Bhinde ditangkap di Udaipur tempat dia menginap di sebuah hotel di bawah nama saudaranya," kata Gautam kepada akhbar itu.

"Pasukan kami menjejakinya dan akhirnya menemuinya pada petang Khamis," katanya.

Bagaimanapun polis tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan pengesahan oleh AFP pada Jumaat.

Ribut yang melanda Mumbai pada Isnin menumbangkan pokok, menyebabkan bekalan elektrik terputus seketika di pelbagai kawasan kejiranan di sekitar bandar dan mengganggu rangkaian kereta api di bandar itu.

Lapangan terbang antarabangsa Mumbai juga menghentikan sementara penerbangan dengan sekurang-kurangnya 15 pesawat dialihkan.

Ketua Menteri negeri Maharashtra, Eknath Shinde mengarahkan audit semua papan iklan di Mumbai untuk mengelakkan sebarang kemalangan berulang di tempat lain.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mei 2024 @ 2:56 PM