SATU poster yang dipasang di satu bangunan di Pimple Saudagar di pinggir Pune, India. - Twitter
SATU poster yang dipasang di satu bangunan di Pimple Saudagar di pinggir Pune, India. - Twitter
Agensi

Mumbai: Seorang ahli perniagaan muda di India disaman pihak berkuasa selepas dia memasang 300 iklan di seluruh bandar semata-mata untuk memujuk teman wanitanya yang merajuk.

Nilesh Khedekar, 25, dilaporkan bertengkar dengan kekasihnya dan sudah berusaha untuk memujuk wanita itu tetapi semua usahanya gagal.

Pada minggu lalu, apabila mendapat tahu bahawa kekasihnya yang dikenali sebagai Shivde pulang ke kampungnya di Pimple Saudagar di pinggir bandar Pune, Khedekar mula merancang sesuatu yang luar biasa.

Khedekar kemudian menghubungi sebuah syarikat percetakan di Pune dan menempah pelbagai saiz poster dengan mesej “Shivde, I am Sorry.”

Pada malam sebelum wanita itu pulang, Khedekar mengupah sekumpulan remaja untuk menampal poster berkenaan di sepanjang jalan menuju ke rumah kekasihnya itu.

Pada pagi Jumaat lalu, penduduk di Pimple Saudagar terkejut apabila melihat 300 poster itu yang mengandungi mesej yang sama digantung di bangunan, tiang lampu dan papan iklan.

Orang ramai yang keliru mula mengambil gambar poster itu dan menyiarkan di media sosial sekali gus ia menjadi buah mulut penduduk di bandar berkenaan.

Walaupun ramai beranggapan tindakan itu sebagai romantik tetapi pihak berkuasa dan polis bandar itu berfikiran sebaliknya.

Tidak sampai sehari polis berjaya mengesan syarikat percetakan, remaja yang memasang poster dan dalang di sebalik kejadian itu.

Selepas membelanjakan kira-kira 72,000 rupee (RM4,230) untuk mencetak dan memasang poster itu akhirnya Khedekar didenda pihak berkuasa kerana memasang iklan tanpa permit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Ogos 2018 @ 11:02 AM