Reuters

Mumbai: Sekurang-kurangnya 12 orang maut manakala dua lagi kritikal akibat kebakaran sebuah bas di bandar Nashik, di negeri Maharashtra, India.

Seorang pegawai bilik kawalan polis di Nashik berkata, lebih 30 orang yang cedera dibawa ke Hospital Awam tempatan untuk menerima rawatan dan ketika ini siasatan mengenai punca kemalangan sedang dijalankan.

Menurut media tempatan, bas itu difahamkan terbakar selepas melanggar lori tangki diesel dan video yang tersebar di media sosial menunjukkan bas itu mencetuskan bola api yang besar.

"Berdukacita dengan tragedi bas di Nashik. Fikiran saya bersama mereka yang kehilangan orang tersayang dalam kemalangan ini," kata Perdana Menteri India, Narendra Modi, di Twitternya.

Beliau turut menulis, keluarga si mati akan menerima 200,000 rupee (RM11,130) setiap seorang, manakala yang cedera pula akan mendapat 50,000 rupee (RM2,799) setiap seorang.

"Semoga mereka yang cedera cepat sembuh. Pentadbiran tempatan akan menyediakan semua bantuan yang diperlukan mereka yang terjejas," ciap Modi.

Ketua Menteri Maharashtra, Eknath Shinde turut mengumumkan bantuan secara berasingan sebanyak 500,000 rupee (RM27,995) untuk keluarga si mati dan berkata kerajaan akan membayar untuk rawatan mereka yang cedera.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Oktober 2022 @ 4:16 PM