BANGUNAN yang musnah di sekitar Hospital Nasser di Khan Yunis, selatan Gaza. FOTO AFP
BANGUNAN yang musnah di sekitar Hospital Nasser di Khan Yunis, selatan Gaza. FOTO AFP
AFP

Baitulmaqdis: Ketika Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) menuntut gencatan senjata di Gaza, tentera Israel terus mengepung dan memerangi Hamas di beberapa hospital di wilayah itu.

Dalam pengeboman semalaman, Israel sekali lagi menyerang Bandar Gaza dan Rafah.

Tentera Israel bertempur dengan Hamas di dalam dan berhampiran tiga hospital Gaza, menimbulkan kebimbangan terhadap pesakit, kakitangan perubatan dan orang yang kehilangan tempat tinggal yang berteduh dalam kemudahan itu.

Pertempuran berlaku sejak minggu lalu di sekitar Hospital Al-Shifa, hospital terbesar di wilayah itu dan baru-baru ini. berhampiran dua hospital di bandar utama selatan Khan Yunis iaitu Hospital Al-Amal dan Hospital Nasser.

Tentera dan perkhidmatan keselamatan Shin Bet mendakwa, mereka terus menjalankan aktiviti operasi di kedua-dua bandar ini sambil mencegah bahaya kepada orang awam, pesakit, pasukan perubatan dan peralatan perubatan.

Kata tentera, puluhan anggota Hamas terbunuh di kawasan Hospital Al-Shifa dan ratusan 'pengganas' ditangkap.

Kementerian Kesihatan Gaza berkata, kereta kebal dan kenderaan berperisai Israel juga berkumpul di sekitar Hospital Nasser.

Katanya, tembakan dilepaskan, namun tiada serbuan dilancarkan.

Jurucakap tentera memberitahu AFP, pihaknya beroperasi di kawasan itu namun pasukan belum masuk ke dalam hospital.

Sementara itu, Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin memberi amaran, ribuan terperangkap di dalam kawasan hospital dan nyawa mereka dalam bahaya.

Rundingan di Qatar ke arah gencatan senjata dan perjanjian pembebasan tebusan membabitkan pengantara Amerika Syarikat (AS) dan Mesir tidak membawa hasil setakat ini, dengan Israel dan kumpulan Hamas saling menyalahkan antara satu sama lain.

Ketegangan juga meningkat antara Israel dan sekutu utamanya AS berhubung kekurangan makanan yang teruk di Gaza dan jumlah kematian orang awam yang meningkat sejak 7 Oktober lalu.

AS juga menentang rancangan Israel untuk melancarkan serangan daratnya ke Rafah yang kini sesak dengan 1.5 juta orang, kebanyakannya adalah mereka yang kehilangan tempat tinggal akibat perang.

Isnin lalu, UNSC meluluskan resolusi pertamanya menuntut gencatan senjata segera di Gaza dan pembebasan tawanan.

AS yang menyekat resolusi sebelum ini, mengambil keputusan berkecuali.

Ia menyebabkan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu membatalkan lawatan pegawainya ke AS yang dijadualkan pegawainya untuk membincangkan situasi di Rafah.

Tetapi seorang pegawai AS berkata kemudian Israel mahu menjadualkan semula rundingan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2024 @ 1:13 PM